SAUDARA PENGARANG,
ISU penduduk Palestin ditindas Israel tidak hanya berkaitan pertembungan antara agama, malah melibatkan isu kemanusiaan sejagat. Sudah berpuluh-puluh tahun lamanya rakyat Palestin dinafikan hak untuk menduduki tanah air sendiri.
Masyarakat dunia juga telah mengetahui dan menyaksikan hasil kerakusan negara kuasa besar menempatkan Israel di Palestin berdasarkan Deklarasi Belfour pada 1917 dan akhirnya menjajah serta menjarah setiap inci tanah Palestin.
Oleh itu, semua umat Islam perlu berjihad membantu Palestin dalam pelbagai bentuk mengikut kemampuan masing-masing seperti menyumbang dari sudut kewangan, menghantar tenaga pasukan perubatan dan sebagainya.
Para ulama menegaskan bahawa hukum jihad adalah fardu kifayah, kemudian berubah menjadi fardu ain ke atas setiap individu dalam kalangan orang yang beriman, apabila musuh sudah menceroboh ke dalam tanah air umat Islam.
Walaupun terdapat rakyat Palestin yang bangkit berjihad dengan senjata, namun tetap masih memerlukan bantuan dan sokongan dalam pelbagai bentuk daripada seluruh umat Islam, sama ada dari negara Arab yang berhampiran atau negara berjauhan di seluruh dunia.
Bantuan dalam pelbagai bentuk itu adalah sebagai sokongan kepada rakyat Palestin telah berusaha menunaikan jihad sebagaimana yang telah diwajibkan oleh Allah SWT dengan berada di barisan paling hadapan dan sanggup terdedah kepada risiko serangan musuh yang dilancarkan secara bertubi-tubi.
Semangat rakyat Palestin tidak pernah luntur untuk terus berjuang menghadapi kezaliman dengan gagah berani sehingga sanggup mengorbankan nyawa seolah-olah sedang menunggu giliran mati syahid.
Sebenarnya terdapat banyak keistimewaan dan kelebihan golongan yang berjihad mempertahankan bumi Palestin yang sangat bermakna dan dekat di hati umat Islam di seluruh dunia.
Isu Palestin tidak patut terbatas kepada perjuangan orang Islam sahaja, malah merupakan perjuangan manusia sejagat. Sokongan terhadap rakyat Palestin tidak sepatutnya dibuat secara bermusim.-UTUSAN
PROF. MADYA DR. AZRI BHARI
Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor