SAUDARA PENGARANG,
MALAYSIA adalah pengguna teknologi angkasa untuk manfaat bidang pertanian, perladangan, perikanan, telekomunikasi dan pelbagai sektor industri.
Teknologi satelit yang sering digunakan dalam industri pertanian mampu memantau tahap kelembapan tanah, kesuburan tanaman dan keadaan cuaca.
Ia membolehkan petani membuat keputusan berkaitan penanaman, pengairan dan kawalan haiwan perosak.
Tambahan pula, sistem navigasi berasaskan satelit menjadi sesuatu yang sangat diperlukan untuk peralatan pertanian moden dan membolehkan petani mengoptimumkan operasi lapangan serta mengurangkan sisa.
Sementara itu, teknologi angkasa juga memainkan18 peranan penting dengan menyediakan sistem amaran awal dan pemantauan masa nyata.
Antara agensi yang banyak menggunakan teknologi ini adalah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengoptimumkan usaha menyelamat mangsa banjir dan meminimumkan kerugian.
Teknologi angkasa juga telah merevolusikan komunikasi dengan membolehkan penempatan satelit komunikasi.
Satelit ini memudahkan akses jalur lebar internet di kawasan terpencil dan kurang mendapat perkhidmatan bagi merapatkan jurang digital.
Teknologi angkasa juga menyumbang kepada penjanaan ekonomi melalui data, teknologi dan aplikasinya.
Satelit adalah penting untuk pengumpulan risikan, pengawasan dan peninjauan, menyediakan maklumat penting untuk tujuan ketenteraan dan pertahanan.
Teknologi angkasa lepas juga menyokong rangkaian komunikasi selamat untuk pasukan pertahanan.
Teknologi angkasa dianggap sebagai salah satu aset strategik sesebuah negara bagi membolehkan tindak balas pantas terhadap potensi ancaman.
Aspek keamanan dan keselamatan negara kini semakin bergantung kepada keupayaan teknologi angkasa supaya Malaysia dapat menjadi sebuah negara maju.
Selain itu, teknologi angkasa dapat membantu dalam memantau sempadan antarabangsa, Maritime Domain Awareness (MDA) dan ruang udara, menyumbang kepada kedaulatan dan keselamatan negara serta meningkatkan aktiviti yang dapat menyumbang kepada penjanaan ekonomi.
Justeru, memanfaatkan kuasa teknologi angkasa boleh meningkatkan daya tahan keselamatan dan kemakmuran negara serta memastikan masa depan yang lebih cerah untuk rakyat dan dunia secara keseluruhan. – UTUSAN
NURHAZIRAH MD. ROZI
Universiti Teknologi Mara (UiTM)