SAUDARA PENGARANG,
DEWASA ini, perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) memungkinkan penyampaian perkhidmatan awam dipertingkatkan secara pesat.
AI menjanjikan peningkatan kecekapan, penyelarasan proses secara efisien dan pembuatan keputusan yang lebih baik. Kerajaan juga telah mengorak langkah dalam proses menggubal dasar-dasar tertentu melibatkan AI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan penubuhan Fakulti AI pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Bagaimanapun, satu aspek penting yang tidak boleh diabaikan ialah bahasa interaksi antara sistem AI dan orang awam. Adakah perlu kita kekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa interaksi kerana rata-rata pembangunan AI datang dari Barat?
Di Malaysia, bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan. Oleh itu, mewujudkan AI yang fasih berbahasa Melayu penting dalam memaksimumkan potensi teknologi terbaharu itu dalam perkhidmatan awam.
Kepentingan bahasa Melayu dalam AI sektor awam boleh dilihat dari sudut kebolehterimaan dan penglibatan rakyat. Keberkesanan penyampaian perkhidmatan terletak pada penglibatan warganegara.
Halangan bahasa boleh mencipta perbezaan dalam capaian kepada perkhidmatan kerajaan dan menjadi tanggungjawab perkhidmatan awam untuk menguruskannya.
Sama ada akses kepada maklumat, membuat laporan atau mencari bantuan, sistem AI sepatutnya mampu berkomunikasi dengan rakyat dalam bahasa Melayu secara lancar.
Salah satu prinsip utama dalam pembangunan aplikasi AI adalah penyetempatan (localisation). Ia bukan sekadar menterjemahkan perkataan, tetapi juga menyesuaikan diri dengan aspek budaya dan bahasa kelompok sasaran.
Terjemahan terus tanpa mengambil kira konteks setempat akan menghasilkan output yang janggal dan tidak mesra rakyat. Budaya Malaysia yang pelbagai dan dinamik bahasa menuntut sistem AI yang boleh menyesuaikan pelbagai dialek, ungkapan dan peribahasa tempatan, dan nuansa budaya dalam algoritmanya.
Cuba bayangkan, soalan atau pertanyaan rakyat dari 14 negeri dijawab dalam dialek-dialek berbeza? Penyampaian perkhidmatan berteraskan AI bersifat setempat sememangnya akan meningkatkan penglibatan dan kepercayaan pengguna.
Selain itu, komunikasi berkesan dalam bahasa Melayu dapat memastikan sistem AI terhindar daripada salah faham, kesilapan komunikasi atau situasi menyinggung perasaan yang boleh merosakkan pengalaman pengguna.
Sejumlah besar dokumen kerajaan, undang-undang, pekeliling dan dasar disediakan dalam bahasa Melayu. Keupayaan untuk mengendalikan dokumen-dokumen ini, memahami implikasinya dan memberikan respons berkaitan adalah penting untuk sistem AI digunakan dalam perkhidmatan awam.
Sama ada menganalisis dokumen undang-undang, menghasilkan respons kepada pertanyaan atau memberikan nasihat undang-undang, penguasaan bahasa Melayu adalah penentu kepada keberkesanan fungsi-fungsi ini.
Pembangunan AI dalam sektor awam selain melibatkan pasukan teknikal, wajar melibatkan entiti kebahasaan Melayu seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pakar dan perujuk bahasa seperti munsyi dewan.-UTUSAN
MOHAMAD IKHWAN AL SYAHID ABDULLAH TAHIR
Institut Tadbiran Awam Negara (Intan)