SAUDARA PENGARANG,
KITA masih diberitakan tentang jumlah peratusan rendah orang Melayu yang keluar mengundi ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai, Johor pada September lalu.
Keadaan ini disokong pula dengan tindakan sekumpulan orang Melayu yang menyatakan bosan dengan politik dan tidak mahu terlibat dengan apa-apa yang berkaitan dengannya dan hasilnya ramai yang tidak keluar mengundi.
Situasi begini amat membimbangkan dan boleh merugikan bangsa Melayu untuk jangka masa panjang. Politik antara definisinya ialah satu proses untuk menentukan kepimpinan sesebuah kerajaan.
Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem Parlimen berperlembagaan, proses untuk memilih pentadbiran negara ialah melalui pilihan raya.
Keputusan untuk siapa yang akan memimpin ditentukan dengan kiraan undi majoriti.
Beberapa pemimpin Melayu negara yang dipilih kebelakangan ini, ada yang terlibat dengan rasuah berskala besar, ada yang tidak cekap memimpin dan ada ramai yang berjanji lain tetapi melaksanakan yang sebaliknya.
Inilah faktor-faktor yang menyumbang kepada punca orang Melayu mula bosan dengan politik.
Orang Melayu tidak boleh tidak melibatkan diri dengan politik kerana kita sekarang sedang berhadapan dengan keadaan kuasa politik orang Melayu yang semakin melucut.
Kelangsungan bangsa Melayu dan agama Islam di Tanah Melayu ini perlu diberi perhatian.
Sekiranya orang Melayu berterusan bersikap dingin dengan politik dan peratusan keluar mengundi rendah, dibimbangi jangkaan kuasa politik kaum itu akan terlucut dan bangsa ini akan menjadi penumpang di atas tanah air sendiri menjadi realiti.
Jadi, bangsa Melayu perlu berterusan menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat dengan keluar mengundi dan pilihlah memimpin Melayu yang berintegriti dan jujur.
Sekiranya, pemimpin yang dipilih gagal melaksanakan tugas seperti sepatutnya, kita harus jalankan tanggungjawab dengan memilih pemimpin Melayu lain apabila tiba pilihan raya seterusnya.
Orang Melayu tidak perlu terlibat sepenuhnya dengan politik parti tetapi memberi tumpuan mengundi pemimpin yang membawa jiwa Melayu dan Islam. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air