SAUDARA PENGARANG,
KONFLIK Palestin-Israel yang berlarutan sejak 7 Oktober menyaksikan peningkatan jumlah korban dan individu yang cedera.
Apa yang menyedihkan, beberapa negara sekutu Israel terus menyokong tindakan rejim Zionis yang mensasarkan orang awam termasuk petugas-petugas kesihatan.
Dalam siri serangan terbaharu, rejim Zionis menyasarkan hospital, sekolah dan masjid yang turut menjadi tempat perlindungan orang awam.
Mesyuarat tergempar kali keenam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan krisis yang berlaku dilihat tidak membuahkan hasil apabila beberapa negara pro-Israel menentang resolusi yang dikemukakan.
Dunia Islam pula masih ternanti-nanti apakah tindakan segera yang dapat dibuat Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Sayang, OIC sekali lagi dilihat tidak memainkan peranan yang signifikan di tengah-tengah konflik yang tercetus.
OIC masih belum mengambil langkah proaktif sebagai pembela perjuangan Palestin. Pertubuhan itu dilihat gagal menunjukkan taring dalam sidang kemuncak di Riyadh, Arab Saudi pada 11 November lalu.
Melihatkan kepada kepincangan OIC bagi menangani krisis yang berlaku, Malaysia menerusi ucapan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat perlu memainkan peranan penting bagi mengetuai proses rundingan dan kerjasama pelbagai pihak bagi menyelesaikan konflik yang tercetus.
Hubungan baik antara Malaysia dengan beberapa negara anggota OIC sepatutnya dijadikan peluang untuk sama-sama menggerakkan kempen menangani konflik. Bagi negara-negara Arab khususnya yang mempunyai hubungan normalisasi dengan Israel perlu segera bertindak memutuskan hubungan dan memanggil kembali duta negara masing-masing.
Negara-negara OIC yang merupakan pengeluar minyak utama seperti Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Qatar dan lain-lain seharusnya didesak supaya berhenti menyalurkan minyak kepada negara haram Israel dan negara-negara sekutu mereka sebagai tanda protes terhadap penganiayaan berterusan kepada warga Palestin oleh rejim Zionis.
Tidak cukup sekadar itu, negara-negara OIC perlu bertindak menghalang sebarang penerbangan yang dilakukan oleh syarikat penerbangan Israel dari terbang ke negara mereka.
Ketetapan juga harus dibuat oleh semua negara OIC untuk mengutuk Israel di Parlimen negara masing-masing sebagai langkah solidariti berterusan bersama Palestin.
Langkah ini juga merupakan advokasi berterusan kepada rakyat di setiap negara OIC supaya pemimpin negara-negara Islam tidak dilihat lemah dan lesu dalam menanggapi isu kemanusiaan ini.
OIC juga perlu lebih proaktif dalam usaha menyeret Israel ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk dijatuhkan hukuman di atas tindakan genosid dan pencabulan hak asasi manusia yang telah dan sedang dilakukan mereka. – UTUSAN
PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN dan MOHAMAD FIKRI MOHD. BAKRI
Universiti Malaya