Masih ada pekerja asing merokok di premis kerajaan - Utusan Malaysia

Masih ada pekerja asing merokok di premis kerajaan

KAKITANGAN Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan perlu ditambah bagi meningkatkan lagi operasi pemantauan perintah larangan merokok.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PREMIS kerajaan telah pun diwartakan sebagai tempat larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau sejak 2004.

Mana-mana orang yang didapati merokok di kawasan larangan jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kawasan larangan merokok di premis kerajaan adalah merangkumi keseluruhan kawasan di dalam kepungan pagar, sempadan tanah bangunan pejabat kerajaan dan termasuk semua kawasan di dalam bangunan kerajaan.

Selain premis kerajaan, kawasan lain yang turut dilarang merokok adalah hospital atau klinik, lif awam atau tandas awam, tempat makan atau kedai berhawa dingin, kenderaan awam atau hentian pengangkutan awam, institusi pendidikan tinggi, taska, kaunter perkhidmatan di dalam mana-mana bank atau organisasi lain, kompleks beli-belah dan stesen minyak.

Namun, masih terdapat penjawat awam malahan pekerja kantin di premis kerajaan yang merokok secara sembunyi di kawasan tangga, luar bangunan, tandas dan tempat-tempat tersembunyi.

Hasil pemerhatian saya, pekerja kantin warganegara asing berani berbuat demikian kerana mungkin tidak menyedari kesalahan merokok di premis awam. Perkara ini berlaku di sekitar pejabat kerajaan di Putrajaya.

Sudah tiba masanya Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Kesihatan (KKM) melakukan pemeriksaan rawak dan mengejut di premis dan jabatan kerajaan di sekitar Putrajaya kerana masih ada individu yang berdegil melakukan kesalahan tersebut.

Ini memberi imej buruk kepada keseluruhan perkhidmatan awam bak kata pepatah kerana nila setitik maka rosak susu sebelanga. Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh KKM pada 2015, sebanyak 1,230 kompaun telah dikeluarkan di Putrajaya atas kesalahan merokok.

Saya juga berharap kakitangan di Bahagian Penguatkuasaan KKM dapat ditambah bagi meningkatkan lagi operasi pemantauan dan penguatkuasaan perintah larangan merokok. – UTUSAN

TENGKU ZARINA TENGKU REJAB
Banting, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya