SAUDARA PENGARANG,
BEKAS Presiden Bosnia-Hezegovina, Ali Izzat Izerbegovic ketika ditanya masa depan negaranya yang diserang Serbia menjawab, “Yang akan menang ialah yang paling lama bertahan”.
Mengulas konflik sama yang melanda Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lalu yang kini melibatkan tentera darat Israel memasuki wilayah berkenaan, dapat dikatakan yang lama bertahan akan menang.
Setakat ini, nampaknya tentera Israel tidak akan dapat bertahan lama setelah tersebar video mereka menghadapi masalah tekanan psikologi dan menyalahkan pemimpin negara Zionis itu.
Ia persis perang Vietnam-Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan pihak yang dianggap ‘penjajah’ tidak akan dapat bertahan dalam tempoh lama.
Perang dijangka berpanjangan dan masa bakal menjadi musuh kepada Israel. Hamas tidak dapat ditewaskan dengan mudah berdasarkan kekuatan terbaharu yang dipamerkan yang jauh ke hadapan berbanding sebelum ini.
Peluncuran 5,000 roket dan dron kepada pos-pos tentera Israel dan penempatan Yahudi mengejutkan negara Zionis itu kerana ia di luar jangkaan mereka. Ini memalukan tentera Israel yang mendapat pembiayaan dana yang besar.
Hamas tampil dengan persediaan jauh lebih baik dari sebelum ini. Meskipun serangan darat Israel dilancarkan namun ia tidak akan mampu mengalahkan Hamas jika serangan itu mengambil masa lebih lama.
Perang daya ketahanan ini lebih memihak pada Hamas yang berpengalaman kerana pernah melalui masa-masa sukar berbanding tentera Israel.
Kajian risikan juga menyatakan jika perang darat berterusan, meskipun angka kematian meningkat, Israel tidak mampu menguasai Semenanjung Gaza. Penghujungnya adalah kemenangan dan kemerdekaan buat Palestin dan Israel tewas. Ini selaras dengan firasat Pengasas Hamas, Syeikh Ahmad Yaasin bahawa Israel akan lenyap pada 2027.
Dalam pada itu, Israel pada masa sekarang tidak mendapat sokongan sepenuhnya akibat kesan daripada perang Ukraine Russia. Ia perang antara Russia-AS dan sekutunya iaitu Eropah. Hakikatnya Israel berdiri dengan pendanaan dari negara proksi.
Umum tahu yang mendanai rejim ini adalah Eropah, AS dan Russia. Keadaan ini semakin rumit untuk Israel kerana negara-negara yang dahulunya menjadi proksi ini bertelagah atas kepentingan politik global masing-masing.
Maka, pendirian Russia bersama China untuk menyokong Palestin memberi tekanan kepada Israel dan memanaskan suhu perang global Russia, AS dan sekutunya.
Kecanggihan teknologi sebaran maklumat menyebabkan kejadian yang berlaku di Semenanjung Gaza tersebar luas dalam waktu yang singkat dan masyarakat dunia dapat melihat sendiri kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin. Dikatakan sentimen anti-Yahudi di peringkat global meningkat 1,200% sejak konflik terbaharu meletus di Semenanjung Gaza.
Satu lagi faktor yang tidak menyebelahi Israel adalah krisis ekonomi global memberi kesan pembiayaan kewangan kepada Israel. Negara-negara Barat yang memiliki sumber dana yang besar khususnya AS tidak dapat menyediakan fasiliti sebagaimana sebelum ini.
Bagaimana AS hendak mendanai Israel dengan kos jutaan dollar yang meningkat dengan tempoh perang yang panjang sedangkan ekonomi mereka juga berdepan dengan krisis?-UTUSAN
MOHD. AZIZEE HASAN
Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru)