SAUDARA PENGARANG,
SUDAH sampai masanya, isu bahasa Melayu diberikan perhatian sepenuhnya oleh semua pihak, terutama dalam kalangan ahli politik dan pemimpin negara.
Hal ini kerana pemimpin memainkan peranan penting dalam menggubal dan meluluskan sesuatu dasar. Ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua urusan rasmi jabatan kerajaan mesti menggunakan bahasa Melayu, amat bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Setelah hampir tujuh dekad Malaysia mencapai kemerdekaan dan bahasa Melayu diangkat sebagai bahasa rasmi negara dalam Perlembagaan Persekutuan, isu memartabatkan bahasa Melayu terus diperjuangkan.
Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana dengan jelas dinyatakan dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 berkenaan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan bahasa kebangsaan.
Bahasa Melayu adalah bahasa antarabangsa yang telah mencapai kegemilangannya sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Kini, jumlah penuturnya lebih 300 juta orang. Namun, lebih 200 juta merupakan bukan penutur asli.
Ini menjadi bukti keunikan bahasa Melayu. Sifatnya yang senang dipelajari, namun sukar dikuasai menjadi bukti bahasa Melayu bahasa intelektual.
Rakyat Malaysia sendiri meremehkan status bahasa Melayu. Mereka seolah-olah tidak yakin dan tidak bangga menggunakan bahasa Melayu dalam segala urusan seharian.
Ini jelas dapat diperhatikan apabila rakyat lebih senang menggunakan bahasa Inggeris yang dianggap bahasa lebih standard atau berstatus antarabangsa.
Bahasa Melayu akhirnya menerima pengiktirafan yang selama ini seperti dianaktirikan di bumi sendiri. Pejuang bahasa juga dapat menarik nafas lega dengan ketegasan Perdana Menteri ini.
Diharapkan, ketegasan ini bukan sekadar satu manifesto yang bermusim untuk meraih populariti dalam kalangan pengundi semata-mata.
Usaha memartabatkan dan mendaulatkan kembali bahasa Melayu dalam kalangan ahli politik dan agensi kerajaan, sangat dialu-alukan setelah sekian lama seolah-olah tidak dipedulikan, walaupun arahan pemartabatan bahasa Melayu sudah banyak kali dikeluarkan.
Antaranya, Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) apabila Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) mengarahkan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam yang menggariskan tanggungjawab ketua jabatan untuk memastikan bahawa semua warga jabatan mempunyai tahap penguasaan dan penggunaan bahasa Melayu yang baik dari aspek lisan dan bukan lisan.
Pelbagai inisiatif universiti awam lakukan untuk memastikan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan mahasiswa. Lebih-lebih lagi dalam era media sosial ini. Sebagai contoh pelaksanaan Ujian Komunikasi dalam Bahasa Melayu (UKOM) yangi diwajibkan kepada pelajar prasiswazah tempatan sebelum bergraduat.
Bahasa Melayu lambang jati diri dan milik bersama setiap rakyat. Oleh itu, semua pihak berperanan dan bertanggungjawab memartabatkan bahasa Melayu dan bukan tanggungjawab pihak tertentu sahaja.-UTUSAN
DR. ZURAINI JUSOH
Universiti Putra Malaysia (UPM)