SAUDARA PENGARANG,
MAHASISWA zaman kini dimanjakan dengan kemajuan teknologi. Mereka mendapat kemudahan untuk mengakses maklumat dan ilmu pengetahuan melalui internet dan teknologi digital. Memandangkan zaman kini juga popular dengan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI), maka lebih mudah untuk mereka mengakses makalah, jurnal dan buku dalam hitungan detik sahaja.
Bagaimanapun, di sebalik keselesaan ini, ramai mahasiswa lalai dalam membangunkan nilai-nilai luhur dan jati diri sebagai insan kamil.
Oleh kerana itu, selain menimba ilmu sebanyak-banyaknya, mahasiswa juga harus mengasah hati nurani dan memperkuat akhlak mulia. Mereka harus menyuburkan peribadi yang bijaksana dan berbudi luhur, bukan sekadar pandai dan berprestasi.
Melihat kepada dimensi penggunaan teknologi, platform media sosial membenarkan penerimaan informasi dengan sangat cepat.
Namun, kepantasan dan cepat sahaja tidak menjamin ketepatan informasi diterima. Titik inilah menguji kebijaksanaan mahasiswa dari segi penerimaan informasi yang betul dan tepat.
Cabaran mereka sangat berbeza bilamana perlu menentukan sendiri corak pemikiran serta keputusan rasional untuk menerima dan menghadamkan informasi berpandukan ilmu yang tinggi dan berketerampilan kritis.
Hal ini membolehkan mahasiswa mempertimbangkan setiap sumber informasi media dari sudut pandangan berbeza kerana setiap sumber informasi pasti ada kecenderungan bias tertentu.
Sehubungan itu, amat penting untuk mahasiswa memahami setiap konteks informasi yang diterima. Informasi yang ditonton mahupun diambil dari klip pendek dalam media sosial mungkin berpotensi untuk tidak mencerminkan gambaran lengkap suatu peristiwa yang berlaku.
Setiap sumber informasi sudah tentu memiliki agenda tertentu dan dalam masa sama dapat mempengaruhi cara media menyajikannya untuk tatapan umum.
Oleh itu, mahasiswa janganlah menjadi penerima informasi yang pasif dan membuta tuli semata-mata, sebaiknya perlu mengajukan pertanyaan dan menyelidik dengan lebih mendalam terlebih dahulu.
Dengan erti kata lain, mahasiswa perlu bijak untuk memeriksa fakta sahih sebelum menerimanya sebagai kenyataan.-UTUSAN
MARIA MADELINA ANAK KIRI DAN NURUL NISHA MOHD. SHAH
Universiti Teknologi Mara (UiTM)