Latih rakyat lebih bijak daripada penipu siber - Utusan Malaysia

Latih rakyat lebih bijak daripada penipu siber

JENAYAH penipuan terutama dalam talian sudah menjadi ancaman terbesar kepada rakyat kita. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat mendedahkan, sejumlah RM687 juta kerugian direkodkan berpunca daripada jenayah penipuan (scam) sepanjang tahun ini.

Manakala, jumlah keseluruhan kerugian melibatkan jenayah penipuan yang dicatatkan sejak 2018 mencecah RM23 bilion. Dalam pada itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pula dilaporkan telah menyekat 2.6 bilion panggilan disyaki terbabit dalam perlakuan jenayah secara dalam talian setakat bulan lalu.

Data-data ini dengan jelas membuktikan jenayah penipuan terutama dalam talian sudah menjadi ancaman terbesar rakyat kita, lantas perlu ditangani dengan cekap.

Pihak berkuasa pula sudah ada banyak usaha yang agresif dilaksanakan membabitkan peranan dan kerjasama bersepadu Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) serta SKMM.

NFCC menerajui Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) misalnya dilaporkan telah menerima 53,783 panggilan dari Oktober 2022 sehingga 30 September lalu mencakupi laporan kes penipuan serta memberikan khidmat nasihat kepada anggota masyarakat.

Pihak berkuasa dilihat cukup serius menangani ancaman siber tetapi bagaimana dengan rakyat? Jika kita terus leka dan cuai, tidak ambil peduli dengan nasihat pihak berkuasa serta tidak ambil iktibar dengan pelbagai kes penipuan yang dilaporkan sekian lama, maka tidak mustahil kita juga bakal menjadi mangsa penipu suatu hari nanti.

Perkara ini tidak mustahil untuk berlaku kerana pada hakikatnya, modus operandi penjenayah siber ini hampir sama dan tidak banyak berubah iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa sama ada polis, kastam, pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebagainya untuk memerangkap mangsa.

Namun, apa yang dikesali ialah walaupun nasihat demi nasihat telah diberikan masih ramai yang mudah percaya dan terpedaya dengan taktik ‘telefon dan ugut’ sindiket ini sehingga sanggup mendedahkan maklumat perbankan atau memindahkan sejumlah wang yang diminta tanpa menyiasat secara terperinci terlebih dahulu.

Apa yang lebih memeranjatkan ialah mangsa yang terlibat ramai terdiri dalam kalangan bijak pandai seperti berpendidikan tinggi, memegang jawatan utama dalam jabatan kerajaan, syarikat swasta, tokoh politik termasuk pakar dalam bidang tertentu serta golongan profesional berpendapatan lima angka sebulan.

Doktor, guru, jurutera dan akauntan adalah antara kelompok profesional yang sering kita dengar menjadi mangsa penjenayah siber termasuk membabitkan nilai kerugian yang agak besar.

Situasi ini mendedahkan semua golongan lapisan anggota masyarakat mempunyai risiko untuk menjadi mangsa, tambahan pula penjenayah siber ini cukup licik dan bijak mencari kumpulan sasaran atau mangsa mereka.

Justeru, rakyat perlu bergerak satu langkah ke hadapan daripada penjenayah ini supaya tidak terus menjadi mangsa penipuan. Tuntasnya, kita perlu lebih bijak dari mereka agar tidak termasuk jerat yang dipasang.

Untuk itu kita perlu memiliki tahap pengetahuan yang baik, betul dan tepat tentang ancaman penipuan dalam talian ini mencakupi jenis-jenis penipuan yang sering berlaku.

Ia juga melibatkan kategori mangsa yang sering menjadi sasaran, pihak berkuasa yang boleh dihubungi untuk laporan, rujukan dan semakan selain modus operandi sindiket ini supaya kita lebih bersedia jika didekati oleh penipu. – UTUSAN

NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Universiti Putra Malaysia (UPM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya