SAUDARA PENGARANG,
BULAN Oktober baru sahaja melabuhkan tirainya. Bulan itu adalah istimewa dan penting kerana ia adalah bulan bahasa kebangsaan yang bukan sahaja disambut di Malaysia, malahan turut disambut di negara jiran kita iaitu Singapura.
Peranan bahasa Melayu pada masa kini dilihat semakin kurang fungsinya. Penggunaannya dalam kehidupan seharian semakin dipandang enteng tanpa kita sedari.
Kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan mula dipertikaikan oleh golongan cendekiawan sendiri. Layakkah nilai bahasa Melayu sebegitu keadaannya di tanah air sendiri?
Penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum boleh dibanggakan. Bahasa Melayu yang digunakan dalam kehidupan seharian masih terdapat begitu banyak kekurangan dan kepincangan disebabkan penggunaan bahasa rojak secara sewenang-wenangnya.
Ia merujuk kepada penggunaan bahasa bercampur aduk, cacamarba dan bercelaru. Kepincangan ini dapat dilihat dengan begitu meluas dalam kehidupan seharian, sehinggakan dalam media massa pun kesalahan itu dibiarkan tanpa rasa bersalah.
Sedangkan media massa adalah medium terbaik dalam penyebaran penggunaan bahasa Melayu yang baik dan standard. Jika sikap sebegini tidak dibendung, di manakah kedudukan dan nilai bahasa Melayu pada masa akan datang?
Dalam pada itu, didikan awal dari rumah adalah amat penting. Tidak salah mendidik anak-anak agar fasih bertutur dalam bahasa Inggeris mahupun bahasa ketiga, namun janganlah sampai meminggirkan bahasa kebangsaan kita sendiri.
Malahan, jika anak-anak fasih bertutur dalam pelbagai bahasa, ia adalah bonus dan nilai tambah kepada anak-anak. – UTUSAN
NURULISYAZILA OTHAMAN dan SITI HAJAR BIDIN
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)