SAUDARA PENGARANG,
SEBELUM ini Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkongsi panduan bagi menjimatkan penggunaan tenaga elektrik sepanjang tempoh peningkatan titik panas dan jerebu berikutan cuaca kering ketika ini.
Walaupun sekarang musim hujan, namun amat penting untuk kita memantau penggunaan elektrik secara langsung dengan memanfaatkan perkhidmatan meter pintar, lebih-lebih lagi selepas kerajaan mengumumkan untuk menghentikan subsidi elektrik kepada golongan T20 atau mereka yang menggunakannya terlalu banyak.
Antara perkara mudah boleh diamalkan adalah dengan mematikan penyaman udara, kipas dan lampu dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.
Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu pergerakan udara di dalam bilik dan tetapkan masa untuk penyaman udara dimatikan bagi penjimatan elektrik.
Pengguna juga digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.
Di samping itu, pengguna disaran menyenggara penyaman udara dengan kerap bagi membolehkan ia beroperasi pada tahap optimum selain membersihkan penapis agar udara sejuk dapat keluar dengan lebih lancar.
Atau boleh lakukan beberapa langkah ini bagi mengelakkan bil elektrik naik secara mendadak:
- Laraskan suhu sistem penyaman udara hawa pada 24 darjah Celsius.
- Tukar atau bersih penapis penyaman udara dengan kerap untuk memaksimumkan potensi penyejukan unit tersebut.
- Penyelenggaraan secara kerap juga boleh membantu pendingin hawa beroperasi pada tahap optimum.
- Tutup semua pintu dan tingkap serta lubang udara bagi memastikan udara sejuk tidak keluar dari bilik.
- Pada waktu malam, buka suis kipas dan tetapkan masa penyaman udara untuk ditutup. Selalunya suhu bilik akan mencecah tahap selesa selepas beberapa jam penyaman udara dihidupkan. Tambahan pula, penggunaan kipas adalah lebih baik dan membantu pengedaran udara di dalam bilik.-UTUSAN
BULBIR SINGH
Bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan