Kerah segera ahli psikologi ke Gaza - Utusan Malaysia

Kerah segera ahli psikologi ke Gaza

KANAK-KANAK mungkin terjejas fizikal, emosi dan psikologi akibat kesan peperangan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Sesi Pemukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura ke-10 pada 30 Oktober lalu menyatakan kedua-dua negara sepakat mengenai pentingnya menyediakan bantuan kemanusiaan kepada Palestin.

Selain bantuan kemanusiaan, tumpuan juga harus diberikan kepada kesan trauma perang ke atas psikologi kanak-kanak di Semenanjung Gaza.

Ia adalah perkara serius dan kompleks yang memerlukan penglibatan mereka yang benar-benar pakar bagi memulihnya.

Kanak-kanak yang terperangkap dalam mana-mana konflik peperangan sering mengalami kesan psikologi mendalam berterusan sepanjang hayat mereka.

Sememangnya semua golongan umur terkesan akibat peperangan. Namun, penting untuk memahami bahawa kanak-kanak adalah pihak paling terjejas dalam situasi ini kerana mereka mungkin kehilangan ahli keluarga, rakan sepermainan dan rumah dengan cara sangat dramatik.

Ini boleh mewujudkan perasaan ketakutan, kecemasan dan kebingungan mendalam. Kanak-kanak mungkin terjejas fizikal, emosi dan psikologi oleh peristiwa-peristiwa mengerikan seperti kehilangan keluarga, luka atau pengalaman keganasan secara langsung.

Ada dalam kalangan mereka akan membesar di tempat sama andai peperangan tamat. Ada yang mungkin dipindahkan ke tempat atau negara lain.

Walau apa pun, episod peperangan yang berlaku dalam garis masa hidup mereka akan tetap meninggalkan kesan mendalam untuk jangka masa terdekat, malah mungkin kekal menjadi parut mendalam sepanjang hayat.

Kesan trauma perang boleh mengakibatkan gangguan stres pascatrauma (PTSD), iaitu gangguan psikologi melibatkan pengalaman yang diingat semula, mimpi ngeri dan tindak balas emosi teruk terhadap rangsangan berkaitan trauma.

PTSD pada kanak-kanak adalah masalah serius yang boleh mempengaruhi perkembangan mereka secara keseluruhan.

Kanak-kanak yang mengalami PTSD mungkin berdepan kegelisahan, gangguan tidur, kemarahan dan perasaan kesunyian. Ini turut memberi kesan negatif pada perkembangan sosial dan emosi mereka.

Gangguan ini boleh menyebabkan penurunan prestasi di sekolah, masalah hubungan sosial dan kesukaran mengekspresikan diri secara emosi.

Selain itu, kanak-kanak yang terjejas dengan trauma perang sering menghadapi cabaran mungkin mempunyai masalah kepercayaan kepada orang lain dan cenderung untuk mengasingkan diri.

Pengalaman mengerikan semasa perang boleh mengubah pandangan mereka tentang dunia dan manusia secara keseluruhannya.

Kesan trauma perang boleh memberi kesan kepada perkembangan kognitif kanak-kanak kerana mereka sering terganggu dalam proses pembelajaran dan perkembangan intelektual.

Selanjutnya, mereka mungkin menghadapi masalah emosi termasuk depresi dan kegelisahan melampau dan ini boleh memberi kesan kepada kesihatan fizikal.

Bagaimanapun, bukan semua kanak-kanak yang mengalami trauma perang akan berdepan kesan psikologi serius.

Banyak faktor seperti sokongan keluarga, bantuan psikososial dan sumber daya komuniti boleh membantu kanak-kanak mengatasi kesan trauma.

Intervensi psikologi yang sesuai boleh membantu kanak-kanak dalam pemulihan dan pembangunan mereka.

Oleh itu, pengenalan dan rawatan tepat adalah penting. Rawatan PTSD pada kanak-kanak melibatkan pelbagai kaedah psikoterapi seperti terapi bermain, terapi kognitif tingkah laku dan terapi keluarga.

Rawatan mungkin juga melibatkan pengambilan ubat-ubatan dalam beberapa kes yang sangat teruk. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI dan DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya