Keputusan mansuh UPSR dibuat selepas kajian teliti - Utusan Malaysia

Keputusan mansuh UPSR dibuat selepas kajian teliti

PEMANSUHAN Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) adalah langkah positif dalam sistem pendidikan negara dan seharusnya diteruskan. – UTUSAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, mengulangi jaminan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tidak akan dikembalikan walaupun terdapat permintaan daripada ibu bapa yang mahu ia dilaksanakan semula.

Beberapa hari selepas itu, kerajaan negeri Sarawak mengumumkan cadangan mewujudkan sistem penilaian sendiri menyerupai UPSR untuk murid tahun enam di semua sekolah di negeri itu.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) kekal dengan pendirian sebelum ini bahawa UPSR tidak perlu dikembalikan selari dengan pengumuman Menteri Pendidikan.

Pemansuhan UPSR adalah langkah positif dalam sistem pendidikan negara dan seharusnya diteruskan untuk menyokong perkembangan pendidikan yang lebih holistik.

Pada masa sama, pemilihan alternatif penilaian yang lebih efektif dan relevan perlu dipertimbangkan untuk menggantikan UPSR dalam jangka masa panjang.

Perlu juga dijelaskan di sini, pemansuhan UPSR adalah hasil daripada kajian teliti dan rundingan dengan pelbagai pihak dan ia didapati berpotensi membantu mengurangkan tekanan terhadap murid dan guru.

GPMS mencadangkan kerajaan memfokuskan usaha di peningkatan kurikulum, latihan guru dan akses murid terhadap sumber pendidikan lebih baik.

Dalam konteks ini, diharapkan kerajaan mengambil langkah-langkah proaktif untuk memastikan kualiti pendidikan terus meningkat dan sesuai dengan keperluan era moden.

Selain memberi perhatian kepada asas menulis, membaca dan mengira (3M), tumpuan juga harus diberikan pada aspek rangsangan, responsif dan relevan (3R).

Kurikulum dan kaedah pengajaran perlu sentiasa merangsang minat pelajar, bertindak balas kepada keperluan pelajar secara individu dan relevan dengan keperluan dan perkembangan semasa dalam masyarakat dan negara.

Dengan memahami 3R ini, sistem pendidikan negara dapat mencapai kualiti lebih baik dan memanfaatkan pelajar secara lebih efektif.

Tuntasnya, murid memerlukan satu sistem pembelajaran yang boleh mencungkil kelebihan dan kekuatan dalam diri mereka. – UTUSAN

MUHD. FAZREEN ISMADI FAUZI, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya