SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu majlis baru-baru ini menegur penganjurnya yang didapati meminta tetamu hadir sejam lebih awal dari waktu ketibaan beliau.
Semua jabatan kerajaan yang mengendalikan program selepas ini juga diarahkan untuk tidak meminta kehadiran tetamu terlalu awal hingga membazir masa.
Walaupun isu ini nampak kecil tetapi soal jemputan ke sesuatu majlis terlalu awal sering menjadi rungutan dalam kalangan jemputan khususnya yang sangat menghormati masa.
Bagi mereka, menunggu terlalu lama sebelum majlis bermula adalah membuang masa dan merugikan produktiviti. Jadi, teguran dan arahan Anwar ini perlu diberi perhatian serius oleh kedua-dua pihak, iaitu penganjur majlis dan juga jemputan.
Lazimnya penganjur memilih jalan selamat dengan meminta jemputan hadir agak awal demi memastikan ketika tetamu kehormat sampai, semua kerusi penuh dan majlis boleh dimulakan terus.
Hal ini agak signifikan kerana dalam banyak situasi, kita dapat lihat majlis tidak dapat dimulakan pada waktu ditetapkan disebabkan jemputan hadir lewat. Malah pelbagai mesyuarat juga terpaksa dimulakan lewat disebabkan masalah sama, walaupun pengerusi mesyuarat sudah ada.
Jadi, agak sukar untuk kita menyalahkan penganjur majlis atau program terutama membabitkan tetamu kehormat berprofil tinggi seperti Perdana Menteri atau menteri.
Umumnya, isu utama di sini ialah budaya tidak menghormati masa dalam kalangan masyarakat. Ironinya, terlalu banyak contoh boleh kita ketengahkan bila merujuk kepada budaya tidak menepati masa yang sebenarnya cukup kritikal dalam kalangan masyarakat kita.
Kita wajar mengupas isu ini dalam spektrum lebih besar yakni keperluan untuk menerapkan budaya menghormati dan mematuhi masa dalam kalangan masyarakat.
Kalau setiap seorang daripada kita bersedia dan memberi komitmen menghormati masa, maka tidak akan timbul soal penganjur perlu menjemput tetamu terlalu awal. Semuanya berbalik kepada sikap kita sendiri yakni sejauh mana bersedia untuk menghormati masa?
Dalam konteks ini, sudah tentu kita cemburu dengan sikap masyarakat Jepun dan Korea Selatan yang agak sinonim dengan budaya menghormati dan menepati masa.
Mereka cukup dikenali oleh masyarakat antarabangsa sebagai bangsa yang sangat mementingkan masa.
Hakikatnya, budaya menepati dan menghargai masa sebenarnya satu amalan cukup terpuji dan sangat dituntut dalam Islam. Malah saya percaya, semua agama mendidik penganutnya untuk menghormati dan menepati masa.
Jika tetamu yang dijemput boleh membudayakan amalan hadir tepat pada waktunya, maka sudah tentu tiada masalah untuk penganjur melewatkan sedikit waktu jemputan mereka.-UTUSAN
NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Universiti Putra Malaysia (UPM)