SAUDARA PENGARANG,
MASYARAKAT 5.0 adalah konsep yang pertama kali diperkenalkan oleh Jepun merangkumi integrasi teknologi dalam kehidupan.
Ini melibatkan penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemprosesan awan, internet kebendaan, robotik, cetakan tiga dimensi (3D) dan teknologi terkini untuk mencipta nilai tambah dan mewujudkan kecekapan lebih tinggi dalam pelbagai aspek kehidupan seharian.
Masyarakat 5.0 juga menggabungkan dunia maya dengan dunia fizikal, mencipta apa disebut sebagai ‘mesin berjiwa’ yang menggabungkan teknologi dan kebijaksanaan manusia.
Transformasi ke arah Masyarakat 5.0 dan pada masa sama memperkukuhkan Revolusi Industri 4.0 memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran teknologi yang semakin berkembang.
Masyarakat perlu mampu mengurus teknologi dalam kehidupan harian untuk meningkatkan aspek kehidupan mereka.
Sebagai contoh, dalam perkhidmatan kesihatan, teknologi AI membantu proses diagnosis dan rawatan penyakit.
Dalam perindustrian, teknologi ini membawa kepada peningkatan produktiviti dan kecekapan dalam proses pengeluaran.
Pembelajaran berterusan dan peningkatan kemahiran adalah penting untuk beradaptasi dengan perubahan ini.
Pendidikan dan latihan berterusan adalah penting untuk memastikan pekerja mempunyai kemahiran yang diperlukan bagi menjalani pekerjaan masa depan.
Selain itu, kerajaan perlu berusaha untuk memastikan teknologi dan peluang yang ditawarkannya tersedia untuk semua individu tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.
Masyarakat perlu ada kesedaran keselamatan siber dan mengamalkannya dalam penggunaan teknologi.
Mereka perlu memahami undang-undang dan peraturan yang berkaitan dengan privasi dan data serta memastikan data peribadi dilindungi.
Secara keseluruhannya, transformasi ke arah Masyarakat 5.0 adalah pendekatan yang proaktif bagi menghadapi cabaran teknologi baharu dan menjadikannya sebagai peluang untuk pembangunan dan kemajuan negara. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MD. FAUZI AHMAD, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)