Ke mana hala tuju lulusan kolej vokasional tanpa SPM?

Ke mana hala tuju lulusan kolej vokasional tanpa SPM?

PELAJAR kolej vokasional (KV) perlu diketengahkan sebagai golongan pakar dalam bidang yang diceburi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MELIHAT kepada lulusan diploma kolej vokasional (KV), rata-rata mereka berasa gusar terhadap masa depan yang tidak menentu memandangkan sijil yang diperoleh hanyalah setara dengan sijil kemahiran tahap tiga (SKM3).

Itu antara penyebab mengapa sukar bagi mereka untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah. Hasil lulusan KV menunjukkan tahap kemahiran sangat bagus tetapi tidak disusuli dengan penguasaan akademik yang setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Subjek akademik yang ditawarkan kepada pelajar KV sangat rendah dan tidak setara dengan subjek-subjek dipelajari pelajar tingkatan empat dan lima aliran perdana. Justeru, kualiti akademik pelajar ini tidak menyokong kualiti kemahiran yang diperoleh.

Kementerian Pendidikan (KPM) pada awalnya cuba untuk menstruktur semula sekolah teknik kepada kolej vokasional untuk memberi peluang kepada pelajar menceburi bidang kemahiran. Namun, pelaksanaannya yang dilihat sambil lewa menjadikan pelajar tidak dapat meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

Diploma yang disandang oleh lulusan KV juga hanya sekadar menjadi pekerja mahir bawahan sedangkan mereka seharusnya diketengahkan sebagai golongan pakar dalam bidang diceburi. Ini kerana perancangan rapi tidak dijalankan sebaiknya ketika penstrukturan semula.

Jika di Amerika Syarikat, lulusan high school diploma dirancang ketika pelajar masih di sekolah menengah rendah sehingga menengah atas. Mereka perlu menghabiskan 48 jam kredit untuk melayakkan mereka mendapat high school diploma. Pelajar freshmen, sophomore, junior dan senior perlu lulus kesemua subjek diambil untuk mendapat sijil.

Mereka boleh terus memohon ke peringkat ijazah dengan menggunakan high school diploma.

Disebabkan diploma KV berbeza dan penetapan syarat kemasukan ke universiti awam mestilah lulus SPM, jadi ke manakah pelajar ini hendak pergi? Ke depan salah, ke belakang sesat. Dilema ini menjadikan mereka terumbang ambing untuk memilih kerjaya masa depan.

KPM seharusnya memandang serius hal ini bagi mencapai misi yang diuar-uarkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Penstrukturan semula KV perlu dilakukan bukan hanya sekadar merombak kurikulum, namun lebih daripada itu dengan memberi latihan semula kepada guru-guru yang mengajar.

Bukan sekadar menukar nama sekolah teknik kepada kolej vokasional, tahap pembelajaran juga perlu diperkasakan dengan menyediakan silibus yang seimbang antara kemahiran dan penguasaan akademik.

Guru-guru berkualiti juga perlu ditempatkan di sana. Sehingga kini masih ada lagi guruguru lama yang tidak mempunyai ijazah dan masih mengajar sedangkan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPMV) telah lama dibubarkan dan dinaik taraf kepada diploma.-UTUSAN

DR. ABD. RAZAK ZAKARIA
Pengerusi Pusat Penyelidikan & Pembangunan
Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN