Kalau tidak berhati besar Melayu akan terpinggir

Kalau tidak berhati besar Melayu akan terpinggir

PERJUANGAN mencapai kemerdekaan memang dramatik tetapi pengisiannya belum tentu mudah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas mengenai rancangan temu bual podcast (audio siar) Keluar Sekejap yang menjemput bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai tetamu, baru-baru ini.

Rancangan itu dihoskan oleh bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. Ia membincangkan pelbagai isu semasa dan juga isu politik. Apa yang menyebabkan saya ingin mengulas adalah tentang rumusan mengenai bangsa Melayu yang didefinisikan oleh Dr. Mahathir dalam rancangan itu.

Setiap kali kita akan diperingatkan tentang orang Melayu yang terkenal kerana sopan santun dan berbudi bahasa. Terdapat banyak cerita tentang orang Melayu yang baik, peramah dan amanah.

Kitab-kitab silam mencatatkan segala macam peristiwa yang mengingatkan kita bahawa Melayu adalah bangsa yang bermaruah dan berhemah tinggi. Alkisah, kita menjadi pewaris tradisi ini dan masih mengamalkan apa yang dianggap terbaik dan termulia daripada satu sejarah warisan yang panjang.

Orang Melayu itu beragama Islam. Orang Melayu itu amat kental dengan semangat kesetiakawanan. Mereka mendukung nilai-nilai murni dan keistimewaaan ini menjadikan mereka unik.

Debat tentang siapa itu Melayu dimulakan sejak munculnya akhbar Melayu yang pertama. Dalam sekian banyak analisis, kecaman dan kritikan terhadap orang Melayu, daripada para orientalis hinggalah pandangan penulis, Abdullah Munshi dan Dr. Mahathir, kita cuba memahami mengenai definisi Melayu yang sebenar.

Ia bukan semestinya Melayu yang diglamorkan atau yang mahu ditonjolkan dalam segala macam cerita rakyat, kitab hikayat dan kisah sejarah yang disampaikan pada kita.

Kita marah pada Abdullah Munshi kerana beliau pengampu dan pengagum Inggeris. Kita menolak kecaman para orientalis Barat kerana kita tidak mahu label “malas, mudah selesa dan bekerja separuh hati” yang dikaitkan dengan kita.
Dr. Mahathir pula dalam satu bukunya yang kontroversi menanyakan terlalu banyak soalan yang selama ini kita sembunyikan.

Kita merdeka walaupun dengan keraguan. Perjuangan mencapai kemerdekaan memang dramatik tetapi pengisiannya belum tentu mudah.

Kita hanya boleh berbangga sedangkan kaum lain yang mengaut labanya. Orang Melayu tidak pernah diasak dan didesak. Di tangan Dr. Mahathir, Melayu terjaga daripada tidurnya yang panjang.

Perlahan-lahan diaspora Melayu yang sebenar mulai membentuk. Kuasa baharu Melayu mulai menampakkan wajahnya. Bukan cakap-cakap tentang ‘ketuanan Melayu’ yang amat akademik.

Orang Melayu boleh menjadi tuan jika dapat memberi tumpuan untuk menguasai bidang ekonomi. Langkah itu boleh dicapai jika orang Melayu tidak terlalu bernostalgia dengan sejarah lampaunya.

Salahnya orang Melayu, mereka terlampau nostalgik, mengingati Melaka dan kegemilangannya. Empayar Melayu sudah berakhir di Johor Riau. Orang Melayu tidak pulih lagi selepas itu.

Melayu yang bangkit semula hasil Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan akibat gegaran Dr. Mahathir ialah Melayu yang sama kulit dan sejarahnya. Cuma tekad dan azamnya adalah baharu. Melayu ini tidak menolak sejarah, malah memperkukuhkannya.

Mereka mengambil kekuatan lama dan mencari kebijaksanaan baharu. Masa depan Melayu bukan diukur daripada legenda pada zaman silam.

Kita mahu mewujudkan Melayu yang membina agenda baharu untuk bangsanya.

Pedulilah kalau Melayu yang ini baharu atau tidak. Yang membezakannya bukan label tapi iltizam dan keyakinannya. Kalau Melayu tidak berhati besar, mereka akan terpinggir dalam kepompong sendiri.-UTUSAN

ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH
Jurutera pembinaan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya