JHEAIPP tidak profesional jika benar beri arahan guna telefon saja - Utusan Malaysia

JHEAIPP tidak profesional jika benar beri arahan guna telefon saja

MOHD. KAZIM ELIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, tular video ucapan pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias yang mengesahkan beliau tidak dibenarkan lagi memberi kuliah di Pulau Pinang selepas 33 tahun berceramah di negeri itu.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) dalam reaksi segera terhadap isu itu memaklumkan langkah berkenaan selaras dengan pekeliling dikeluarkan jabatan itu pada 23 Oktober lalu memaklumkan penstrukturan semula kuliah dan penganjuran aktiviti ilmu di masjid serta surau negeri terbabit.

Ini bermakna semua penceramah atau pengkuliah yang hendak menyampaikan pengajaran di semua masjid dan surau di Pulau Pinang mestilah memiliki tauliah mengajar daripada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Mohd. Kazim ialah salah seorang daripada 16 individu aktif berceramah di negeri itu yang disahkan oleh JHEAIPP tidak memiliki tauliah mengajar.

Syarat untuk mendapat tauliah adalah penceramah dan pengkuliah yang dijemput itu tidak mempunyai kontroversi terutama berkaitan akhlak, masalah khilafiah, politik kepartian dan seumpamanya.

Apa yang saya ingin bangkitkan di sini adalah mengenai kenyataan Mohd. Kazim bahawa pihaknya hanya menerima arahan menerusi panggilan telefon daripada JHEAIPP agar tidak meneruskan kuliah maghrib tanpa sebarang arahan bertulis.

Bagi saya, jika benar seperti didakwa, bermakna JHEAIPP bertindak secara tidak profesional apabila memberikan arahan larangan berkenaan dengan hanya melalui panggilan telefon.

Bukankah tindakan sedemikian dikira tidak sesuai apatah lagi melibatkan soal urusan dakwah kepada orang Islam di Pulau Pinang?

Timbul persoalan, adakah wujud prosedur operasi standard (SOP) baharu dalam urusan tata kelola jabatan itu yang menyatakan arahan menerusi panggilan telefon bersamaan dengan arahan secara bertulis?

JHEAIPP perlu memberi penjelasan berhubung isu berkenaan dan pastikan kejadian sama tidak berulang kepada pendakwah lain pada masa hadapan. – UTUSAN

RAHMAD ISAHAK, Aktivis politik Islam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya