SAUDARA PENGARANG,
MENURUT laporan Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO), banjir adalah bencana alam ketiga terbesar yang telah merosakkan harta benda serta mengorbankan banyak nyawa.
Bencana ini berlaku susulan hujan lebat berterusan terutama di kawasan yang mempunyai bentuk geografi rendah.
Malah, di Malaysia banjir adalah salah satu bencana alam yang paling kerap melanda negara dan berlaku hampir setiap tahun terutama semasa musim tengkujuh.
Kawasan Pantai Timur Semenanjung Malaysia adalah paling terdedah kepada banjir terutama semasa musim Monsun Timur Laut dari Oktober hingga Mac.
Pada tahun ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berterusan bermula pertengahan November yang menyebabkan banjir terutama di kawasan-kawasan rendah.
Di Terengganu, bermula 20 November lalu banyak kawasan dilanda banjir terutama di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Masih jelas di ingatan, peristiwa banjir besar yang melanda beberapa negeri pada penghujung 2021 yang telah meragut hampir 50 nyawa, dikatakan paling tinggi dalam sejarah bencana banjir di negara ini.
Sebagai orang awam, kita berperanan untuk bersiap sedia menghadapi ancaman bahaya banjir dengan bertindak lebih awal terutama di kawasan-kawasan yang selalu berlaku banjir.
Dokumen-dokumen penting perlu diletakkan di tempat selamat serta sentiasa peka dengan arahan semasa pihak berwajib.
Sekiranya perlu berpindah, maka segeralah berpindah tanpa menunggu air naik ke paras bahaya kerana ini boleh mengancam nyawa.
Pastikan sentiasa utamakan keselamatan diri dan keluarga terlebih dahulu. Penting bagi ibu-bapa memantau aktiviti anak-anak agar tidak bermain air banjir.
Bukan sahaja untuk keselamatan malah kesihatan di musim banjir perlu diberikan keutamaan kerana penyakit bawaan air kerap berlaku. – UTUSAN
ROZITA ALIAS@ABDUL LATIFF, Universiti Malaysia Terengganu (UMT)