Isu polis rasuah: Nak tegur anggota bawahan biar beradab, berhemah - Utusan Malaysia

Isu polis rasuah: Nak tegur anggota bawahan biar beradab, berhemah

MENEGUR pekerja bawahan secara lantang hanya menunjukkan sifat bongkak, angkuh dan sombong seorang ketua. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TEGURAN adalah perkara baik dan positif dalam membolehkan kehidupan lebih harmoni dan supaya seseorang dapat mengubah dirinya menjadi lebih baik.

Bagaimanapun, cara untuk menegur mestilah secara berhemah supaya ia tidak dilihat sebagai penghinaan, apatah lagi jika perbuatan itu dilakukan secara terbuka di khalayak ramai.

Berkaitan video tular melibatkan seorang pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berapi-rapi dan emosi menegur orang-orang bawahannya berkaitan salah laku rasuah dan mengkhianati sesama sendiri demi wang ringgit.

Saya memuji tindakan itu demi menjadikan PDRM bersih dari unsur rasuah. Cuma apa yang saya tidak setuju teguran itu nampak seperti satu penghinaan kepada anggota berpangkat rendah.

Sepatutnya tidak perlu menyebut secara khusus pangkat tertentu seperti “macam mana sarjan boleh pakai Alphard”. Beranikah beliau menyebut nama pangkat pegawai yang lebih tinggi daripada jawatannya yang hidup di luar kemampuan?

Ingatlah umur dari sehari ke sehari semakin meningkat dan bila sampai masanya kita akan bersara. Masa berkuasa memanglah seronok menghentam orang bawahan kerana mereka tidak berani menyangkal kata-kata pegawai lebih tinggi.

Belajar terima hakikat bahawa kedudukan dicapai ketika ini adalah sebenarnya jasa dan penat lelah orang bawahan.

Kita nampak hebat dan unggul bukan kerana kita yang hebat tapi orang bawahan yang menjalankan kerja dengan penuh dedikasi. Tapi biasalah orang bawahan ini ibarat wira yang tak didendang.

Ini adalah nasihat kepada mereka yang berjawatan tinggi untuk sentiasa kekal berhemah apabila menegur staf bawahannya. Ingatlah, setiap orang mempunyai sumbangan sepanjang perkhidmatan sama ada sedikit atau banyak. – UTUSAN

CIKGU JAMAL
Kuala Rompin, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya