Islamofobia sukar bantu henti genosid di Palestin - Utusan Malaysia

Islamofobia sukar bantu henti genosid di Palestin

ISU agama dan bangsa dimanipulasi untuk menafikan kekejaman rejim Israel terhadap penduduk Palestin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DI media sosial, ramai membangkitkan konflik di Palestin sebagai isu umat Islam atau bangsa Arab semata-mata.

Hakikatnya, apabila peristiwa yang melibatkan genosid, ia bukan membabitkan agama dan bangsa tertentu sahaja, sebaliknya merentasi semua agama dan bangsa.

Tindakan genosid ini jelas bertentangan dengan akal manusia yang waras dan perundangan kemanusiaan antarabangsa.

Ia memperuntukkan jaminan perlindungan nyawa orang awam, objek awam seperti rumah ibadat, melarang pemusnahan infrastruktur seperti sumber dan bekalan air bersih.

Selepas banyak kekejaman yang dilakukan Zionis Israel, ramai penduduk Palestin kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, bahkan dipaksa menjadi pelarian bagi membolehkan mereka merampas tanah hak milik rakyat Palestin.

Nasib mereka yang berpindah meninggalkan tanah air dan menjadi pelarian adalah tidak jelas.

Justeru, masyarakat dunia perlu menggembleng tenaga untuk menghentikan konflik ini mengikut kapasiti masing-masing sama ada dengan tangan iaitu kuasa politik dan demonstrasi, kuasa pembeli dengan memboikot.

Atau secara lidah dan tulisan melalui kempen-kempen untuk menghentikan serangan ke atas Palestin serta dengan hati melalui untaian doa agar penduduk di sana selamat dan dilindungi Allah SWT.

Dalam konteks Malaysia, sewajarnya semua pihak boleh bersatu hati dalam menghentikan tindakan genosid yang sedang dilakukan dan tidak bersetuju dengan peperangan dan kekejaman terutama kepada golongan yang tidak berdosa.

Ini kerana Islam bukan agama keganasan dan tidak menyokong keganasan, bahkan tindakan Palestin adalah dalam konteks ini mempertahankan tanah air sendiri.

Sebaliknya, isu agama dan bangsa tidak harus dimanipulasi untuk menafikan kekejaman rejim Israel. Selama tempoh beratus tahun hidup bersama, sepatutnya tiada lagi prejudis antara agama seperti di Malaysia.

Kita perlu mencari titik temu untuk tidak bersetuju dengan peperangan dan keganasan pihak Israel yang ingin merampas tanah air penduduk Palestin.

Sekiranya sikap Islamofobia masih lagi menebal, cita-cita untuk mewujudkan perpaduan menjadi sukar. – UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. MOHD. ANUAR RAMLI
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya