Infak harta agar fakir miskin mampu teruskan hidup

Infak harta agar fakir miskin mampu teruskan hidup

HARTA seharusnya digunakan pada jalan infak bagi memenuhi bahagian fakir miskin agar mereka mampu meneruskan kehidupan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

EKONOMI yang kukuh dan stabil amat mempengaruhi keselesaan dan taraf hidup ummah. Pelbagai manfaat dan kebaikan diperoleh sekiranya usaha membangunkan ekonomi diutamakan. Melalui ekonomi yang berkembang maju, ummah berpeluang menerokai pelbagai bidang yang akan memberi pulangan kebaikan kepada setiap lapisan masyarakat.

Islam mengutamakan penjagaan harta untuk diurus bagi tujuan membangunkan ekonomi. Salah satu pendekatannya ialah prinsip tolong-menolong.

Harta yang dikurniakan perlu dimanfaatkan sebaiknya agar mendapat keberkatan dan memperoleh kebahagiaan akhirat. Harta seharusnya digunakan pada jalan infak bagi memenuhi bahagian fakir miskin agar mereka mampu meneruskan kehidupan. Ummah wajar mengutamakan semangat dan amalan tolong-menolong untuk membangunkan ekonomi.

Umat Islam sepatutnya menjadi ummah yang hebat ekonominya, berupaya mengurangkan kebergantungan pada barangan yang dihasilkan oleh orang lain, sebaliknya terus berikhtiar untuk menghasilkan produk dan ciptaan sendiri.

Islam menganjurkan amalan berinfak bertujuan untuk membantu meningkatkan ekonomi ummah. Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) merupakan badan yang dipertanggungjawabkan mengurus hal ehwal zakat dan wakaf.

Melalui amalan zakat serta agihannya, keperluan asnaf dapat dipenuhi seterusnya mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Amalan berzakat mencetuskan sifat prihatin yang menghidupkan sifat ihsan serta ingin menolong golongan yang memerlukan. Dana zakat di bawah seliaan MAIN diagihkan kepada golongan asnaf melalui pelbagai skim bantuan zakat.

Wakaf pula merupakan salah satu syariat yang bermaksud menahan harta daripada pemilikan individu dan diuruskan manfaatnya untuk pihak tertentu. Syariat wakaf terbukti berjaya membantu meningkatkan ekonomi umat Islam.

Dana wakaf sama ada tunai atau harta diurus oleh MAIN untuk menjana pulangan yang dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan ekonomi umat Islam. MAIN selaku pemegang amanah tunggal bagi wakaf akan melantik pelbagai pihak untuk menjalankan aktiviti penjanaan ekonomi seperti pertanian, penternakan dan perniagaan melalui kaedah sewaan dan pajakan tanah. Hasil yang diterima disalurkan semula kepada penerima manfaat seperti masjid, surau, tapak perkuburan Islam, institusi pendidikan dan sebagainya.-UTUSAN

MOHD. YAKOP IKRAM
Ipoh, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya