Henti gotong-royong tulis jurnal

Henti gotong-royong tulis jurnal

PERLUKAH nama ahli akademik yang makmalnya digunakan oleh penyelidik lain dimasukkan sebagai penulis bersama dalam artikel penyelidikan yang dihantar ke jurnal? – GAMBAR HIASAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA menulis sebuah karya sama ada bab dalam buku atau artikel untuk jurnal. Saya tumpangkan nama beberapa kawan, sama ada bidang sama atau sikit berbeza kerana apabila mereka menulis, maka saya menjangkakan nama saya turut disenaraikan dalam tulisan mereka. Ini pernah digambarkan sebagai budaya gotong-royong atau budaya tumpang-menumpang.

Fenomena di atas kerap berlaku dalam dunia akademik dalam budaya bersaing menulis/menerbit atau hapus (publish or perish). Justeru, saya hanya perlu menulis satu atau dua jurnal setahun kerana tiga lagi kawan yang saya tumpangkan akan meningkatkan jumlah penerbitan saya ke aras empat atau lebih. Di mana sebenarnya satu sahaja saya sebagai penulis manakala tiga lagi saya ditumpangkan oleh rakan-rakan.

Ini budaya timbal balik, saya garu belakang awak, awak garu belakang saya.

Pelbagai sebab dimajukan untuk perbuatan begitu. Ada mengatakan nama saya harus ada dalam artikel itu kerana penulis menggunakan makmal saya untuk menjalankan pengujian, penulis itu menggunakan bahan kimia lebihan saya dan penulis telah bertanya kepada saya berkaitan prosedur digunakan dalam penyelidikannya.

Maka oleh kerana itu, apa salah nama saya ada dalam senarai penulis sebuah artikel sekalipun saya tdak terlibat dengan penyelidikan beliau? Penulisan itu menggunakan bahan saya dan makmal saya telah membolehkan penyelidikan mereka dijalankan sehingga tamat.

Senario di atas biasa didengar dan diketahui ahli akademik sejak universiti tertekan dan terdesak kerana ranking.

Sekarang bukan sekadar menulis tetapi perlu menghantar artikel ke jurnal berimpak dan dalam ranking Q1 sekiranya boleh.

Bayaran penerbitan atau selalu dinyatakan oleh jurnal sebagai bayaran proses artikel tidak murah. Ahli akademik terpaksa menghantar kepada jurnal sedemikian kerana ia akan menjana indeks H.

Sekarang ahli akademik lagi tertekan kerana bukan sahaja mereka perlu menghasilkan penulisan/penerbitan dalam kuantiti tertentu, tetapi kualiti yang disukat melalui indeks H.

Persoalan penting, apakah dan di mana beza di antara ahli akademik yang ada 30 ke atas indeks H dengan mereka yang ada 10 ke bawah?

Bolehkah anda percaya seorang ahli akademik boleh menerbitkan sehingga berpuluh artikel (25 buah) dalam satu tahun? Bagaimana? Budaya tumpang-menumpang ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan sesama ahli akademik tetapi pelajar siswazah turut terpalit.

Sistem tidak menghalang, bahkan menggalakkan budaya seperti ini. Pelajar siswazah digalakkan menerbit, bahkan ada universiti mensyaratkan pelajar siswazah mereka hanya layak masuk konvokesyen dan menerima sijil setelah memenuhi bilangan penerbitan yang ditentukan.

Setiap penerbitan dalam jurnal pula berbayar. Maka ada universiti membenarkan pelajar siswazah menuntut bayaran penerbitan daripada bahagian berkaitan dalam universiti berkenaan. Akan tetapi syaratnya, hanya ahli akademik boleh menuntut.

Maka, nama penyelia kena dimasukkan ke dalam artikel itu kerana ahli akademik tersebut kemudian layak menuntut bagi pihak pelajar siswazah. Lingo sekarang, menang-menang.

Universiti dapat markah untuk ranking, pelajar dapat penuhi kelayakan pengajian dan ahli akademik pula dapat tingkatkan penerbitan dan layak mohon naik pangkat. Jelas, pengkajian semula diperlukan bagi menambah baik dan meningkatkan mutu pendidikan dan institusi pendidikan dalam negara.-UTUSAN

PROFESOR DATUK DR. JAYUM JAWAN
Felow Akademi Sains Malaysi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya