SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, saya menerima mesej di aplikasi Telegram. Pengirim mesej memang berada dalam senarai kenalan, tetapi tidaklah selalu berhubung.
Jadi, tanpa rasa ragu, saya pun membuka dan membaca kandungan mesej itu. Mesejnya ringkas sahaja, namun saya meluat membacanya.
Bukan meluat kepada pengirim, tetapi meluat dengan individu yang menyamar sebagai pengirim. ‘Dia’ sertakan pautan dan mengajak saya untuk menebus baucar melalui pautan tersebut.
Katanya, sumbangan daripada kerajaan. Saya layankan sahaja penipu itu sehinggalah tidak lama kemudian, ‘dia’ terus hapuskan akaun Telegram yang menggunakan nama kenalan saya tadi.
Mungkin ‘dia’ tahu tembelangnya sudah pecah, “Tak boleh makan orang ini, cari mangsa baharulah.” Mungkin itulah sangkaannya sampailah akan ada mangsa yang termakan umpan beracunnya itu.
Kisah penipu ini mengingatkan saya kepada kenyataan akhbar dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tempoh hari.
Jabatan itu menegaskan bahawa tiada ejen atau orang tengah dilantik oleh pihaknya bagi apa-apa jua perkhidmatan yang disediakan.
Kenyataan itu dikeluarkan kerana terdapat beberapa halaman atau akaun di media sosial khususnya Facebook kononnya menawarkan perkhidmatan JPN bagi memperoleh dokumen pengenalan diri.
Berdasarkan pemerhatian saya, ini bukanlah kali pertama JPN mengingatkan orang ramai tentang isu penipu.
Kadang-kadang saya tertanya-tanya, masih adakah orang yang termakan umpan mereka ini sehingga JPN terpaksa mengeluarkan kenyataan berkali-kali untuk mengingatkan orang ramai?
Persoalan ini terjawab apabila saya sendiri melihat iklan berbayar berkenaan ‘perkhidmatan’ JPN yang lalu di garis masa Facebook saya.
Malah, apabila saya membuat carian di Facebook, masih banyak ‘pendaftar jadian’ yang hidup bagai cendawan tumbuh selepas hujan, berleluasa.
Jadi, hipotesis saya adalah jika ada halaman yang menawarkan perkhidmatan tersebut, pasti ada pelanggannya.
Mungkin sasaran mereka adalah warga asing yang baru tiba di negara kita dan tidak tahu prosedur sebenar berkenaan permohonan dokumen pengenalan diri.
Selain itu, boleh jadi juga mereka menyasarkan individu yang tidak mampu mengenal pasti muslihat penipu-penipu ini seperti ibu bapa kita di kampung atau sesiapa sahaja yang kurang peka dengan taktik jahat penipu ini.
Hatta, golongan bijak pandai pun pernah jatuh dalam perangkap penipu ini. Sebenarnya penipu ini bukan sahaja bijak dan licik, malah rajin lagi gigih orangnya.
Walaupun berdepan dengan hukuman berat oleh kerajaan, namun kebanyakannya masih berani memunculkan diri di dalam masyarakat.
Jadi, bagaimanakah kaedah terbaik untuk menangani sindiket penipuan bak barah yang terus menular ini?
Tidak boleh tidak, kita sendiri perlu jadi lebih bijak, licik, rajin dan gigih berbanding mereka.
Janganlah sesekali mudah percaya kepada pihak yang mengaku sebagai wakil mana-mana jabatan terutama melibatkan kakitangan awam.
Periksa identiti mereka dahulu sebelum berurusan. Rujuklah laman-laman rasmi jabatan termasuk media rasmi jabatan.
Masyarakat juga perlu lebih rajin untuk mengunjungi terus pejabat-pejabat cawangan jabatan berhampiran agar segala maklumat dan informasi yang diterima nanti tepat.
Janganlah kerana hendak mudah dan cepat, kita menjadi ‘lauk’ kepada penipu durjana ini. Semoga JPN tidak lagi perlu keluarkan kenyataan akhbar sama berkenaan penipu yang cuba memerangkap kita.
Sudah tahu modus operandi mereka? Jadi, jangan jatuh dalam lubang yang sama. – UTUSAN
KAK YONG NAZIHAH, Bukit Kapar, Klang