SAUDARA PENGARANG,
MASALAH rasuah dalam bidang sukan bukan baharu di Malaysia. Ia sudah menular sejak sekian lama dan jika dibiarkan berlarutan boleh merosakkan masyarakat dan meruntuhkan negara.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim sebaik sahaja dilantik ke jawatan itu turut menyentuh soal berkenaan apabila menyatakan amalan rasuah dalam badan sukan di negara ini perlu ditangani sebaiknya bagi memastikan atlet dapat meningkatkan potensi sebenar mereka.
Industri sukan negara boleh terencat sekiranya masalah itu tidak dibanteras sepenuhnya. Rasuah dalam sukan bukan hanya berkaitan dengan perolehan dana persatuan dan menggunakan jawatan untuk mendapat suapan.
Malah, ia turut melibatkan perbuatan mengatur keputusan perlawanan dan penyalahgunaan kuasa serta proses dalam membuat sesuatu keputusan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mendefinisikan suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah mahupun pemberian diskaun. Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) berpendapat bahawa isu rasuah dalam sukan di Malaysia masih berada pada tahap terkawal.
Tindakan segera pihak Kementerian Belia dan Sukan dalam mengambil langkah pembudayaan, pencegahan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa adalah penting untuk memastikan ia tidak menjadi ‘barah’ kepada pembangunan sukan negara.
Trend gejala rasuah dalam sukan di Malaysia biasanya melibatkan aktiviti mengatur perlawanan yang melibatkan kejohanan ternama, hadiah besar dan pertaruhan sama ada secara sah ataupun tidak.
Banyak kes rasuah dalam sukan tidak dilaporkan atas pelbagai sebab. Kegagalan melaporkan kes ini tidak boleh dimaafkan kerana implikasinya cukup besar. Program kesedaran dan pendidikan antirasuah kepada atlet dan badan sukan perlu diperbanyakkan. MCW sedia terlibat secara aktif dalam program ini. – UTUSAN
JAIS ABDUL KARIM
Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)