Eksperimen laluan bas Rapid KL terlalu lama - Utusan Malaysia

Eksperimen laluan bas Rapid KL terlalu lama

MASA yang terlalu lama dalam melakukan perkhidmatan percubaan bagi laluan baharu bas boleh menyebabkan pengguna memilih alternatif pengangkutan awam lain.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

RAPID Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) telah banyak mencapai kemajuan dalam menyediakan perkhidmatan pengangkutan terbaik dan bertaraf dunia melalui jenama Rapid KL. Ia sentiasa menggunakan pendekatan baharu dan komprehensif untuk sebarang penambahbaikan sejajar perkembangan semasa.

Salah satu pendekatan yang diambil ialah melakukan perkhidmatan percubaan terutamanya bagi laluan baharu, biasanya mengambil masa selama tiga bulan. Ia seolah-olah memberi gambaran bahawa pengendali bas sedang melakukan eksperimen dalam menentukan hala tuju perancangan yang telah mereka putuskan.

Walaupun pelbagai siri perkhidmatan percubaan laluan dilakukan, wujud tanggapan Rapid KL seakan tidak bersedia dan berada dalam radar ketidakpastian sama ada berjaya atau tidak. Dapatan semasa perkhidmatan percubaan ini tidak didedahkan secara umum dari segi kos, peningkatan penumpang harian dan sebagainya.

Pun begitu, menjadi keperluan bagi Rapid KL memahami pergerakan penumpang dari stesen rel ke tempat lain tanpa tempoh perkhidmatan percubaan begitu panjang.

Ini dapat mengoptimumkan armada bas serta meningkatkan keberkesanan laluan bas yang beroperasi. Oleh itu, inventori bas dan pemandu Rapid KL tidak terganggu dengan perubahan jadual perjalanan bas secara mendadak untuk jangka masa panjang.Perkhidmatan percubaan ini juga sudah pasti melibatkan kos yang tinggi lebih-lebih lagi jika melibatkan pendanaan awam.

Rakyat khususnya pengguna bas ingin melihat kecekapan perkhidmatan bas dari segi waktu ketibaan yang tepat, kebolehpercayaan dan kadar efisien yang tinggi. Harapan pengguna terhadap perkhidmatan bas berkurangan kerana ketidaktentuan perkhidmatan percubaan ini sama ada diteruskan atau tidak sehingga menyebabkan mereka bersedia memilih pengangkutan alternatif lain.

Jika Rapid KL mengalami kesukaran mencapai objektif sasaran terutamanya peningkatan peratusan penumpang, sudah tiba masanya ia menggunakan sepenuhnya pengurusan data yang cekap dan berinovasi tinggi.

Ini bagi menganalisis dan meramal corak pergerakan, profil penumpang sedia ada serta menggunakan model ramalan permintaan semasa dan masa depan. Serta tidak terlalu bergantung kepada perkhidmatan percubaan yang mengambil masa lama dan melibatkan kos tinggi.

Rapid KL boleh melakukan beberapa simulasi terhad tanpa mengambil masa yang terlalu lama. Perkhidmatan percubaan yang memerlukan tempoh masa yang lebih panjang boleh dipertimbangkan sekiranya melibatkan teknologi baharu seperti bas elektrik generasi baharu atau bas tanpa pemandu. – UTUSAN

MOHD. FIRDAUS HASHIM
Pemerhati pengangkutan awam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya