Bom hospital satu jenayah perang - Utusan Malaysia

Bom hospital satu jenayah perang

SERANGAN penghapusan yang berterusan oleh Zionis ke atas warga Palestin di Gaza perlu dikutuk sekeras-kerasnya. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KAMI mengutuk sekeras-kerasnya serangan penghapusan berterusan oleh Zionis ke atas warga Palestin di Gaza yang berlaku sejak 7 Oktober lalu.

Tindakan mengenakan kepungan terhadap 2.3 juta warga Palestin di Gaza; menghalang bantuan kemanusiaan; mengusir secara paksa penduduk Palestin dari rumah mereka; mengebom secara berterusan sebuah populasi yang tidak mempunyai akses kepada air, elektrik, bahan api, bekalan makanan dan ubat serta turut mengebom hospital, masjid dan gereja adalah jenayah perang.

Kami menegaskan bahawa keganasan Israel terhadap warga Palestin adalah kesinambungan projek penjajahan Zionis yang bermula dengan penubuhan kerajaan kolonial pemukim Israel pada 1948.

Keberlangsungan negara Israel adalah bersandarkan kepada keganasan berterusan tanpa henti dan berulang-ulang terhadap warga Palestin yang dijajah.

Keganasan tersebut sudah berlaku selama 75 tahun dengan sokongan imperialisme Amerika Syarikat dan sekutunya di Eropah.

Makanya, penjajahan Palestin yang berterusan adalah realiti material. Kolonialisme pemukim inilah punca segala keganasan. Keganasan yang dimulakan oleh entiti Zionis tersebut adalah punca perlu dihapuskan sepenuhnya.

Kami menyokong warga Palestin dalam perjuangan mereka menuntut kebebasan, hak penentuan nasib sendiri dan kemerdekaan.

Kehidupan bermaruah hanya dapat dicapai sepenuhnya dengan merobohkan semua sistem penindasan (penjajahan, imperialisme, kapitalisme, rasisme) yang dikekalkan oleh penjajah Israel dengan bantuan material daripada negara-negara imperialis Barat.

Kami mengangkat hak warga Palestin untuk menentang pembasmian kaum dan negara mereka melalui perjuangan bersenjata.

Hal ini selari dengan legasi masyarakat terdahulu, iaitu mereka yang berjuang menentang penindas yang memulakan keganasan meragut maruah kaum tertindas.

Pejuang seperti Nat Turner, Harriet Tubman dan Touissaint L’Ouverture yang memimpin pemberontakan bersenjata demi menghancurkan rantai perhambaan.

Bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela bersama komradnya yang mengangkat senjata untuk membebaskan ibu pertiwi mereka daripada aparteid.

Sepertimana ditekankan pemimpin Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Ahmad Boestamam yang ditentang hebat oleh penjajah British pada 1946.

Beliau berkata, tidak ada satu bangsa di atas muka bumi ini yang dahulunya terjajah mendapat kemerdekaan tulen, kemerdekaan 100 peratus kerana diberi orang melainkan kerana ditebus dengan darah.

Kami mengecam negara penjajah Israel dan media Barat yang menggambarkan warga Palestin seperti bukan manusia melalui kempen pemalsuan maklumat dan kempen propaganda bagi menyokong dan mengabsahkan tindakan keganasan terhadap mereka yang dijajah.

Oleh itu, tuntutan kami adalah dihentikan keganasan Israel terhadap warga Palestin. Tamatkan juga kepungan di sekeliling Gaza yang sudah wujud lebih 16 tahun.

Wujudkan juga koridor kemanusiaan bagi menyampaikan bantuan kepada warga Palestin di Gaza.

Selain itu, pulangkan seluruh kawasan jajahan kepada warga Palestin dan tamatkan penjajahan Israel di bumi Palestin. – UTUSAN

SEKOLAH MERDEKA, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya