SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, terdapat laporan yang memetik kenyataan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa kerajaan mungkin menaikkan harga gula tidak lama lagi tetapi akan memastikan langkah itu tidak membebankan rakyat.
Langkah itu yang menyaksikan harga gula dinaikkan sehingga RM3.80 sekilogram diambil ekoran pihak industri mengalami kerugian kerana peningkatan harga bahan itu di peringkat global.
Harga gula putih bertapis kasar yang ditetapkan kerajaan sekarang adalah pada kadar RM2.85 sekilogram, gula putih bertapis halus sebanyak RM2.95 sekilogram manakala harga gula premium ditentukan oleh pasaran.
Bagaimanapun, sempena Hari Diabetes Sedunia yang diraikan pada 14 November setiap tahun kita perlu mengenal pasti punca penyakit diabetes yang bukan sekadar berpunca daripada pengambilan gula berlebihan.
Terdapat kira-kira 422 juta orang di seluruh dunia yang menghidap diabetes. Penyakit itu dalam kalangan rakyat Malaysia juga dilihat semakin meningkat. Dianggarkan bahawa tujuh juta rakyat Malaysia dewasa akan menghidap diabetes menjelang 2025.
Ia adalah satu penyakit yang kronik apabila pankreas seseorang itu tidak menghasilkan insulin yang mencukupi atau apabila pankreas tidak dapat menggunakan insulin yang dihasilkan dengan berkesan.
Insulin ialah hormon yang membantu glukosa diserap ke dalam sel-sel tubuh badan untuk digunakan sebagai tenaga. Apabila proses ini gagal, paras glukosa dalam badan akan bertambah dan dalam jangka masa panjang boleh meningkatkan risiko seseorang itu mengalami kerosakan organ seperti mata, buah pinggang, saraf dan jantung.
Diabetes yang paling biasa dihidapi ialah jenis dua yang sejak kebelakangan ini turut menjejaskan ramai golongan muda. Salah satu perkara yang paling membimbangkan ialah usia pesakit yang didiagnosis dengan diabetes kini semakin muda.
Walaupun kecenderungan genetik memang memainkan peranan, pilihan gaya hidup juga turut menyumbang kepada diabetes secara signifikan. Tabiat pemakanan yang buruk, gaya hidup tidak aktif dan obesiti adalah penyebab utama diabetes.
Kita perlu mendidik amalan memilih makanan yang sihat sejak kecil agar dapat membentuk tabiat pemakanan yang baik sepanjang hayat sekali gus mengurangkan peningkatan obesiti.
Dalam pada itu, kerap membuang air kecil, dahaga berlebihan, penurunan berat badan secara tiba-tiba dan kelesuan adalah tanda-tanda diabetes yang sering berlaku.
Jika mengalami gejala ini, jangan abaikannya, periksa paras gula dalam darah dengan segera. Hari ini, paras gula dalam darah boleh diperiksa secara percuma atau dengan sedikit bayaran di farmasi atau klinik.
Salah satu cabaran dalam menguruskan diabetes ialah penyebaran tanggapan salah bahawa ubat diabetes boleh memudaratkan buah pinggang. Walhal hakikatnya, diabetes tidak terkawal itulah yang membawa kepada kerosakan buah pinggang, bukannya ubat yang dipreskripsi.
Satu lagi tanggapan salah adalah mencegah diabetes memerlukan diet melampau. Sebenarnya, pencegahan boleh dibuat dengan perubahan kecil dalam tabiat pemakanan harian.
Sebagai contoh, daripada makan di luar atau membeli makanan bungkus tiga hingga empat kali seminggu, hadkan makan di luar hanya sekali seminggu.
Utamakan diet seimbang yang merangkumi bijirin penuh, protein tanpa lemak, buah-buahan dan sayur-sayuran. Gabungkan juga pemakanan sihat ini dengan senaman yang kerap. Senaman seperti berjalan pantas setiap hari boleh menyelamatkan nyawa.-UTUSAN
DR. TEOH WEI LENG
Pusat Perubatan Sunway