SAUDARA PENGARANG,
SEJAK negara mencapai kemerdekaan pada 1957 kerajaan telah menganugerahkan pingat-pingat keberanian kepada sebilangan anggota polis dan tentera kerana keberanian mereka yang luar biasa, termasuk sehingga terkorban nyawa.
Yang tertinggi di antaranya ialah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong untuk kepada individu yang menunjukkan keberanian luar biasa atau telah melakukan sesuatu dengan gagah berani serta penuh pengorbanan.
Antara penerima SP yang tidak membawa sebarang gelaran ialah mendiang Kanang Langkau yang cedera ditembak komunis dalam satu operasi di Perak pada 1970-an di beberapa bahagian badan, tetapi tetap bersemangat untuk menumpaskan musuhnya.
Mendiang yang digelar Pahlawan Iban dikenang melalui ungkapan Agi Idup Agi Ngelaban yang membawa maksud selagi hidup selagi melawan.
Penerima lain ialah pemandu kereta perisai, Allahyarham Koperal Mat Aznan Awang yang terbunuh dalam misi menyelamat lebih 70 anggota tentera Amerika Syarikat yang dikepung di kawasan Pasar Bakhara, Mogadishu, Somalia pada 1993.
Dalam pada itu, anugerah kedua tertinggi ialah Pingat Gagah Berani (PGB). Masa berganti masa, ada di antara mereka yang telah meninggal dunia. Tetapi sehingga kini beberapa orang dari mereka masih lagi berada bersama kita.
Sebelum mereka juga pergi meninggalkan kita buat selamanya, sukalah saya mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri agar menganugerahkan gelaran Datuk atau yang sepertinya kepada penerima-penerima pingat SP dan PGB yang masih hidup.
Kita sering memberi penghormatan dengan gelaran Datuk kepada warga seni, warga sukan, aktivis sosial dan lain-lain. Janganlah pula kita ketinggalan dari memberi penghormatan sedemikian kepada wira-wira negara yang telah bergadai nyawa demi keamanan dan kesejahteraan kita semua.
Seperti yang selalu disebut dalam bahasa Inggeris yang jika diterjemah membawa maksud inilah tindakan sekurang-kurangnya yang boleh dibuat oleh negara yang tahu bersyukur untuk menghormati jasa mereka.-UTUSAN
RAHMAN ARIFFIN
Shah Alam, Selangor