SAUDARA PENGARANG,
KEBANYAKAN kita sudah tentu tahu bahawa penyakit jantung dan kanser adalah dua punca utama kematian rakyat Malaysia. Namun, rata-rata dalam kalangan masyarakat tidak tahu punca kematian ketiga paling banyak sebenarnya adalah strok.
Pembunuh senyap ini biasanya berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otak terganggu menyebabkan kerosakan pada sel-sel otak.
Lebih menakutkan, ia boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengira usia tetapi biasanya lebih kerap berlaku pada individu berumur 60 tahun dan ke atas.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan kenyataan bahawa pesakit strok kini semakin muda. Natijahnya, satu dalam empat kes strok kini berlaku terhadap golongan berumur bawah 50 tahun.
Menurut rekod Pendaftaran Strok Kebangsaan, terdapat 47,911 kejadian strok dilaporkan pada 2019, bermakna kira-kira 130 orang mengalami strok setiap hari di negara ini.
Malaysia juga mencatatkan hampir 32 kematian setiap hari akibat strok. Dalam pada itu, diramal satu daripada empat rakyat Malaysia akan mengalami strok menjelang 2040 jika tiada langkah pencegahan diambil.
Sebenarnya sebanyak 90 peratus kejadian strok boleh dicegah kerana ia disebabkan beberapa faktor risiko yang boleh diubah suai termasuk tekanan darah tinggi, diabetes dan kolesterol.
Selain itu, merokok boleh merosakkan lapisan saluran darah, menjadikannya lebih cenderung untuk menjadi sempit atau membeku sehingga mengalami strok.
Apabila strok menyerang, terdapat beberapa tanda umum termasuk kebas atau lemah secara tiba-tiba pada sebelah badan, kekeliruan atau mengalami masalah pertuturan secara tiba-tiba dan masalah penglihatan pada sebelah atau kedua-dua mata.
Tanda-tanda lain adalah sukar berjalan atau mengimbangkan badan secara tiba-tiba dan sakit kepala yang teruk tanpa diketahui puncanya.-UTUSAN
DR. LEE TUAN CHEONG
Pusat Perubatan Sunway