Belia semakin hilang nilai murni akibat globalisasi - Utusan Malaysia

Belia semakin hilang nilai murni akibat globalisasi

MALAYSIA memerlukan golongan belia yang jujur, ada rasa hormat yang tinggi kepada pemerintah dan undang-undang negara serta kepada masyarakat yang berbilang bangsa dan agama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

Belia boleh dianggap sempurna jika mereka menunjukkan perangai dan tingkah laku sopan dan baik. Namun sebaliknya, golongan belia yang berjaya serta memiliki semangat juang tinggi tetapi berperangai buruk atau gagal mengawal emosinya akan dilihat sebagai amat pincang.

Malah, ada kemungkinan mereka akan dianggap seperti orang yang tidak waras ataupun sakit mindanya. Golongan belia seperti ini memberi gambaran kepada dunia bahawa mereka sememangnya keliru atau gagal mengimbangkan antara kepentingan nilai murni dan moral dalam urusan kehidupan.

Dalam era globalisasi, ia terlalu sukar untuk hidup dengan berpegang kepada nilai murni memandangkan pihak-pihak di Barat menggunakan globalisasi untuk merosak generasi atau menghancurkan sesebuah negara. Melalui pendekatan seperti ini, negara-negara Barat dikatakan cuba memperluaskan hegemoni mereka terhadap negara-negara lain.

Apa yang lebih merisaukan apabila terdapat golongan belia yang menjadi terlalu fanatik untuk meniru segala macam perkara dari negara luar tanpa sebarang justifikasi yang rasional, kononnya atas nama pemodenan sehingga tidak menyedari terlibat dalam kancah gejala sosial.

Selain itu, sikap masyarakat yang mementingkan kebendaan dan bersikap individualistik turut dilihat sebagai punca golongan belia luntur pegangan nilai-nilai murni. Hal ini kerana dalam kehidupan bermasyarakat, nilai-nilai murni untuk kehidupan secara berkelompok seperti tolong-menolong, hormat-menghormati, nasihat-menasihati dan sebagainya tidak ditonjol atau didedahkan kepada golongan belia.

Kelunturan nilai boleh berpunca dari sikap ibu bapa dan keluarga yang tidak prihatin terhadap kepentingan ajaran berkaitan nilai, di samping sikap masyarakat yang semakin meminggirkan nilai-nilai murni dalam aktiviti kemasyarakatan, serta tiadanya mekanisme atau program pemantapan terhadap nilai-nilai murni dalam masyarakat.

Negara amat memerlukan golongan belia yang mantap dari segi kekuatan ilmu, kemampuan menguasai bahasa asing dan teknologi baharu dalam pelbagai bidang sains dan teknologi.

Belia yang mempunyai keupayaan ekonomi yang mantap serta berani meneroka ruang-ruang baharu yang berpotensi memberi peluang pekerjaan atau meningkatkan jaringan kerjasama demi kekuatan sosioekonomi ummah.

Namun, pada masa sama, negara kita juga memerlukan golongan belia yang jujur, ada rasa hormat yang tinggi kepada pemerintah dan undang-undang negara serta kepada masyarakat yang berbilang kaum dan agama. – UTUSAN

AMIR AKHMAL BAHARIN
Pengerusi Kesatuan Pemuda Islam (KEMUDI) Taiping

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya