SAUDARA PENGARANG,
MEMANDANGKAN kerajaan mengambil keputusan untuk mengaktifkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) khusus kepada golongan belia, jadi apa salahnya pertimbangkan untuk meluaskan skop peserta kepada belia berusia 16 hingga 40 tahun.
Ini bagi memberi ruang dan peluang kepada semua golongan belia terdedah dengan kemahiran dan latihan asas berkaitan pertahanan diri dan negara.
Pada masa sama, pertimbangkan juga untuk disertai semua wakil rakyat sama ada di peringkat Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Memandangkan rata-rata wakil rakyat agak lanjut usia, ia boleh memberi kelainan terhadap program ini.
PLKN penting bagi memantapkan tahap keyakinan dan disiplin diri setiap individu. Golongan belia perlu memiliki tahap keyakinan dan disiplin yang tinggi untuk membawa kemajuan kepada negara pada masa akan datang.
Pada masa yang sama juga, setiap wakil rakyat kita perlu memiliki daya ketahanan fizikal, emosi dan mental yang tinggi supaya mereka dapat terus menyumbang bakti pada rakyat dan negara.
Dengan meluaskan skop penyertaan ini, kerajaan akan mengetahui dengan lebih dekat tahap keberkesanan program PLKN serta melakukan proses penambahbaikan pada masa depan.
Menerusi kenyataan Kementerian Pertahanan baru-baru ini, pelaksanaan semula program berkenaan dibuat selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003.
Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN 3.0.
Pihak kerajaan boleh mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji cadangan saya dengan lebih teliti. Sudah sampai masanya kita mengambil satu langkah drastik.
Ini bagi mendedahkan semua golongan belia dan wakil rakyat dengan pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran asas bagi melahirkan warganegara yang lebih berkualiti, berkemahiran tinggi dan mampu untuk berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)