SAUDARA PENGARANG,
PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru membawa semula Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 atau lebih dikenali sebagai RUU Generasi Penamat (GEG) ke Parlimen tanpa berlengah-lengah.
Ini kerana seramai 9.2 juta rakyat Malaysia menyatakan sokongan penuh terhadap perkara ini. Sokongan untuk rang undang-undang ini penting dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan anak-anak.
Sungguh mengecewakan apabila pembuat dasar dan beberapa ahli Parlimen sengaja melengahkan rang undang-undang ini. RUU GEG dianggap seperti bola sepak, yang ditendang ke sana ke mari, manakala peniaga vape pula membuat wang dengan mengorbankan masa muda rakyat.
Tidakkah mereka sedar bahawa bilangan pelajar sekolah yang menggunakan vape dan ketagih peranti ini sama ada di peringkat rendah dan menengah semakin meningkat.
Sekolah tidak mempunyai keupayaan untuk membantu pelajar-pelajar yang ketagihan vape. Sesetengah sekolah hanya menjalankan pemeriksaan mengejut terhadap pelajar yang disyaki melakukan perkara yang melanggar undang-undang sekolah sebagai cara untuk memantau masalah itu.
Ketagihan pelajar ini boleh dianggap sudah berada diluar kawalan kerana mereka boleh membeli dengan mudah secara dalam talian, malah ada dalam kalangan mereka sanggup menggunakan kad kredit ibu bapa untuk membeli cecair nikotin.
Justeru, CAP ingin mengingatkan kerajaan bahawa kesihatan lebih penting daripada kekayaan yang hanya melibatkan segelintir pihak. Kita tidak seharusnya mengorbankan generasi akan datang dengan membiarkan golongan ini terus ketagihan vape.
Oleh itu, sekali lagi kami meminta untuk membawa semula RUU GEG di Parlimen dan anggap isu ini sebagai kecemasan.-UTUSAN
N V. SUBBAROW
Pegawai pendidikan kanan
dan aktivis anti merokok CAP