SAUDARA PENGARANG,
DALAM dunia hiburan Malaysia, artis sering menjadi figura awam yang dipantau oleh ramai peminat. Dengan kemasyhuran yang mereka nikmati, adalah wajar bagi artis-artis ini untuk mengikuti kursus komunikasi berkesan.
Kursus ini adalah penting bagi memastikan mereka dapat berkomunikasi dengan baik dan memberi contoh yang baik kepada peminat serta generasi muda.
Artis-artis ini seharusnya mengelak daripada membicarakan perkara-perkara yang sensitif seperti keaiban keluarga, konflik dalam hubungan suami isteri atau ucapan berunsur permusuhan dengan rakan artis dan peminat.
Dalam masyarakat Malaysia yang berpegang kepada nilai-nilai tradisional dan agama, perkara-perkara seperti ini boleh merosakkan imej dan reputasi artis serta membawa kesan buruk kepada masyarakat yang mengikutinya.
Dengan menghadiri kursus komunikasi, artis-artis akan belajar tentang batasan dalam berkomunikasi. Mereka akan memahami bahawa komunikasi yang berkesan tidak semestinya perlu melibatkan perkara-perkara sensitif atau kontroversi.
Sebaliknya, mereka boleh memilih untuk berkomunikasi dengan lebih bijak, memberi tumpuan kepada aspek positif dalam seni dan budaya serta menghormati etika komunikasi yang baik.
Selain itu, adalah baik jika ustaz atau penceramah bebas yang berwibawa dijemput untuk memberi ceramah tentang batasan berkomunikasi dalam Islam. Ini akan membantu golongan artis memahami nilai-nilai agama dan budaya tempatan yang seharusnya dihormati dalam setiap perbualan dan tindakan mereka.
Kesimpulannya, artis Malaysia wajar mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kemahiran komunikasi dan mengelakkan perkara-perkara yang boleh merosakkan imej mereka.
Kursus komunikasi berkesan dan ceramah dari ustaz-ustaz berwibawa adalah langkah-langkah yang boleh membantu mereka menjadi contoh yang baik kepada peminat dan generasi muda, serta memastikan keharmonian dalam masyarakat yang berbilang budaya. – UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan