SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN data terkini (sehingga 31 Januari 2023) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, golongan orang kurang upaya (OKU) yang paling ramai mendaftar adalah kategori masalah pembelajaran dengan 235,751 orang. Golongan ini merupakan mereka yang menghadapi masalah kelewatan tumbesaran (GDD), sindrom Down, sindrom kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD), autisme, kurang upaya intelektual dan disleksia.
Ibu bapa yang mempunyai anak berstatus OKU sepatutnya mempunyai kesedaran dan pendedahan awal berkaitan perkara-perkara penting yang mampu membantu anak mereka membesar dan memaksimumkan potensi diri.
Kesedaran awal yang dimaksudkan adalah mengetahui perkara-perkara penting yang perlu dilakukan bagi membantu kelangsungan hidup sehingga mereka dewasa. Perkara penting tersebut termasuklah:
Mendapatkan pengesahan dari pakar kesihatan
Ibu bapa perlu memantau anak sejak lahir dan memastikan perkembangannya selari dan mengikut peringkat umur. Jangan ambil mudah pemeriksaan kesihatan berkala yang dianjurkan Kementerian Kesihatan melalui buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak (0-6 tahun).
Apabila menyedari sesuatu di luar kebiasaan, ibu bapa boleh melaporkan kepada doktor semasa sesi perjumpaan bulanan/tahunan untuk pemeriksaan dan ujian-ujian tertentu sehinggalah sekiranya perlu akan mengesyorkan untuk mendapatkan kad OKU.
Mencari kumpulan sokongan sesuai
Ini termasuklah penjagaan pemakanan, terapi dan nurseri yang bersesuaian. Informasi ini dapat ditingkatkan dengan menyertai kumpulan sokongan mengikut kategori ketidakupayaan anak.
Mengenal pasti peluang pendidikan
Perancangan pendidikan juga boleh dibuat lebih awal dengan mengenal pasti lokasi sekolah kerajaan dan swasta yang sesuai.
Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan sesetengah sekolah dengan kelas khas dikenali Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dengan Elaun Murid Berkeperluan Khas sehingga mereka mencapai umur 18 tahun. Begitu juga Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Mengenal pasti peluang dan inisiatif latihan pekerjaan
Perkara ini termasuklah inisiatif disediakan kerajaan dalam menyediakan latihan-latihan bersesuaian untuk mereka terlibat dalam bidang pekerjaan.
Selain itu, terdapat pelbagai lagi inisiatif dan peluang disediakan termasuklah pasport secara percuma, cukai, pencen terbitan dan sebagainya.-UTUSAN
DR. HANIRA HANAFI
Akademi Pengajian Islam
Universiti Malaya