SAUDARA PENGARANG,
DALAM Bayan Linnas siri ke-76 dalam perkara monopoli serta menyorokkan barang, jelas perbuatan tersebut bukan sahaja dihukumkan berdosa malah mendapat kutukan laknat daripada Allah SWT. Banyak hadis memperingatkan orang Islam agar menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan terkutuk tersebut.
Berhubung dakwaan kekurangan beras tempatan dan beras import yang dikatakan agak mahal dan membebankan, rupa-rupanya terdapat percaturan permainan politik di belakangnya sehinggalah akhirnya terkantoi.
Agak mengejutkan apabila sebuah kilang di Kedah diserbu dan disita oleh pihak penguat kuasa selepas dipercayai terbabit menyorokkan 180 tan metrik beras.
Apakah semuanya ini? Melakukan sabotaj beras tentulah memerlukan kerjasama tauketauke kilang padi. Mungkin agaknya ini salah satu cara untuk memupuk rasa benci rakyat kepada kerajaan.
Bahkan timbul persoalan lain apabila ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor secara sinis mendakwa negara sedang menghadapi krisis bekalan makanan paling teruk.
Jika dakwaan tersebut ada asas kebenarannya, maka diminta pihak berkuasa menjalankan siasatan segera terhadap mereka yang terlibat.
Justeru, sudah-sudahlah bermain politik dan terimalah hakikat yang parti pembangkang bukan lagi kerajaan pilihan rakyat. Mandat rakyat juga ada tarikh luputnya. Sebaik-baiknya tunggulah sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang. Diharapkan semua ahli Parlimen pembangkang memberikan kerjasama baik dalam memastikan ekonomi negara segera dipulihkan.
Sepatutnya kita bersyukur yang bumi Malaysia tercinta ini terus kekal aman damai serta hendaklah juga mengambil iktibar daripada serangan di Palestin.-UTUSAN
SURVIVAL POLITIK
Pulau Pinang