SAUDARA PENGARANG,
KEMENTERIAN Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim baru-baru ini mengumumkan Malaysia memiliki sumber unsur nadir bumi bukan radioaktif dengan nilai pasaran semasa boleh mencecah sehingga RM747.2 bilion.
Walaupun dikatakan telah menemui sumber kekayaan baharu, kita tidak seharusnya melupakan aktiviti penanaman kelapa sawit.
Jangan berulang seperti sebelum ini apabila kita asyik tertumpu kepada sektor perindustrian sehingga melupakan bidang penanaman padi.
Sedarkah hakikat, iaitu boleh dikatakan produk makanan dan penjagaan diri yang bersumberkan minyak kelapa sawit pasti ada di setiap rumah rakyat Malaysia? Ini fakta, bukan auta.
Kelapa sawit adalah tanaman minyak sayuran paling produktif berbanding tanaman minyak lain seperti kacang soya dan bunga matahari kerana ia menghasilkan sehingga empat tan minyak setiap hektar setahun.
Ini bermakna kelapa sawit hanya memerlukan keluasan tanah yang kurang untuk menghasilkan jumlah minyak yang sama berbanding tanaman minyak sayuran lain.
Bagaimanapun, terdapat banyak salah tanggapan tentang manfaat kesihatan minyak sawit. Antaranya, minyak sawit hanya terdiri daripada lemak tepu, justeru mempunyai kesan buruk kepada kesihatan manusia.
Sebenarnya minyak sawit mempunyai nisbah asid lemak yang seimbang. Ia terdiri daripada 50 peratus lemak tepu dan 50 peratus lemak tidak tepu (dikenali sebagai asid lemak Omega-9 dan Omega-6).
Tambahan lagi, minyak sawit mengandungi banyak provitamin A (juga dikenali sebagai karotenoid), fitosterol, koenzim Q10 dan lain-lain lagi.
Ini adalah antioksidan yang berkesan dan boleh membantu dalam pencegahan penyakit. Karotenoid dan minyak sawit merah (RPO) minyak sawit mentah (CPO) adalah sumber tumbuhan semula jadi yang paling kaya dengan provitamin A karotenoid merangkumi alfa dan beta-karotena.
Karotenoid inilah yang memberikan warna merah jingga kepada CPO yang boleh diproses menjadi pelbagai produk seperti lemak pepejal dan olein sawit (minyak cecair).
Malah, minyak sawit merah mengandungi 15 kali lebih banyak karotenoid daripada lobak merah, 300 kali lebih banyak daripada tomato dan 44 kali lebih banyak daripada sayur-sayuran berdaun.
Memakan minyak sawit merah boleh menjadi cara praktikal untuk menangani kekurangan vitamin A dan masalah kesihatan berkaitan termasuk kecacatan penglihatan dan penyakit pernafasan.
Dalam pada itu, minyak sawit juga kaya dengan vitamin E, iaitu nama umum untuk tokoferol dan tokotrienol yang dijumpai secara semula jadi dalam pelbagai makanan.
Vitamin E di dalam minyak sawit merangkumi 70 peratus tokotrienol dan 30 peratus tokoferol. Pengambilan vitamin E yang mencukupi adalah penting untuk membantu melindungi tubuh kita daripada kesan berbahaya radikal bebas.
Selain itu, tokotrienol sawit mempunyai manfaat kesihatan lain yang melebihi sifat antioksidan termasuk boleh mencegah kanser, menjaga kesihatan kardiovaskular, modulasi imun dan perlindungan saraf.
Ini adalah perkongsian seorang sahabat pena dari Johor Bahru, Johor tentang pelbagai manfaat kesihatan yang sebenarnya ditawarkan minyak sawit.
Sebagai rakyat Malaysia, kita semua harus membantu mewujudkan lebih banyak kesedaran tentang faedah minyak sawit.
Usah pedulikan segala diskriminasi dari Barat terhadap minyak sawit kita dan produk berkaitannya. Pihak Barat berkokok ibarat ayam jantan, bila penat mereka diamlah. – UTUSAN
MOHD. EFENDI MAT DAUD, Kepala Batas, Pulau Pinang