Universiti wajib ada landskap tasik - Utusan Malaysia

Universiti wajib ada landskap tasik

TASIK menjadikan suasana kampus Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) nampak cukup mendamaikan. – FACEBOOK UTHM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

CUKUP merunsingkan kita apabila beberapa media sosial melaporkan statistik tekanan psikologi dalam kalangan mahasiswa menunjukkan peningkatan ketara.

Keadaan ini disumbang oleh pelbagai faktor akademik dan bukan akademik, antaranya keluarga, rakan sebaya, kehidupan kampus, kewangan dan tekanan pembelajaran.

Kebimbangan ini menjadi semakin ketara apabila baru-baru ini, beberapa universiti penyelidikan terkemuka negara mencapai kadar tekanan pelajar sebanyak 37.7 peratus pada 2018 dan 42.2 peratus pada 2020.

Umum mengetahui kampus mempunyai persekitaran yang mampu merangsang pengajaran, pembelajaran dan pemikiran kreatif.

Ia bukan hanya sekadar letakan struktur bangunan institusi malah lebih daripada itu, ia secara intelektualnya dapat membina dan meningkatkan semangat serta moral pelajar.

Bagi membolehkan mahasiswa menikmati proses pembelajaran lebih menyeronokkan, persekitaran kampus yang kondusif wajar disediakan. Menyediakan suasana kampus yang kondusif secara fizikal menjadi satu keperluan utama.

Ia akan mempengaruhi corak hubungan sosial dan psikologi, sekali gus menjadi antara alternatif pendekatan pencegahan masalah tekanan psikologi dan tekanan emosi dalam kalangan warga kampus terutama mahasiswa.

Landskap air dilihat sebagai usaha kepada reka bentuk persekitaran kampus yang kondusif. Tasik buatan adalah antara elemen reka bentuk landskap air popular, yang merupakan cara terbaik untuk menghias landskap di dalam kampus.

Ia bukan sahaja dapat menambah daya tarikan, malahan dapat mewujudkan suasana kedamaian, ketenangan dan keseimbangan psikologi dalam kalangan komuniti kampus.

Kajian kami yang memberi fokus kepada pembangunan hadapan air (waterfront development) menunjukkan ia mampu memberikan impak psikologi kepada penggunanya selain impak pulangan ekonomi melebihi 40 peratus.

Ironinya, landskap air (berkonsepkan tasik buatan) menjadi sebahagian landskap di kebanyakan kampus, antaranya Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Letakan tasik buatan menjadikan kewujudannya penting bukan sahaja sebagai santapan mata, malahan ikon penting dan lambang kemegahan kepada seluruh warga kampus.

Penyediaan landskap sedemikian mampu meningkatkan nilai estetika dan fungsi sesuatu kawasan.

Justeru, fungsi tasik buatan di dalam kampus perlu dimanfaatkan secara optimum oleh seluruh komuniti kampus dan masyarakat sekitar.

Selain memastikan penyelenggaraan berterusan, pengurusan universiti juga perlu mengambil cabaran agar sentiasa kreatif untuk menambah baik fungsi dan nilai ekonomik tasik buatan. – UTUSAN

PROFESOR MADYA. DR. AZLINA MD. YASSIN dan DR. HAIDALIZA MASRAM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya