Tolak promosi hubungan Israel

Tolak promosi hubungan Israel

NEGARA Islam seperti Malaysia perlu konsisten dalam menyatakan pendirian berhubung perjuangan rakyat Palestin. -UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KONFLIK Palestin-Israel yang tercetus sejak 7 Oktober lalu menyaksikan kekejaman Zionis Israel terus menekan rakyat Palestin khususnya di Gaza melalui serangan pengeboman dan pencerobohan sama ada dari darat, udara mahupun laut.

Lebih parah lagi, negara-negara Barat yang begitu lantang menyuarakan hak asasi manusia, perdamaian dan pematuhan undang-undang antarabangsa seolah-olah membutakan mata. Malah ada dalam kalangan pemimpin dunia menyatakan pendirian menyokong tindakan Israel atas dasar mempertahankan diri.

Satu perkara perlu dititikberatkan ialah situasi pascaperang kelak. Kerosakan, kemusnahan prasarana dan fasiliti asas, psikologi, peluang pendidikan serta kerjaya merupakan perkara perlu diberi tumpuan oleh dunia dalam menyelesaikan permasalahan di atas.

Pembangunan psikologi pascaperang merupakan proses yang memerlukan sistem sokongan banyak pihak terutama dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.

Bagi kerajaan Malaysia, inisiatif khas membantu rakyat Palestin khususnya yang telah kehilangan ahli keluarga bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi perlu diperkasakan. Ia boleh dilakukan dalam bentuk pemberian biasiswa atau bantuan yuran pengajian. Ini bagi kelangsungan di tanah air mereka kelak.

Negara-negara Islam pula perlu konsisten dalam menyatakan pendirian mereka berhubung perjuangan Palestin ini kerana ia juga berkait kedudukan Baitulmuqaddis dan Masjid al-Aqsa yang merupakan tanah suci ketiga umat Islam dalam wilayah Palestin moden.

Pengiktirafan terhadap Israel oleh negara-negara Islam melalui hubungan normalisasi juga haruslah dihentikan. Walaupun dari satu aspek dilihat sebagai pendekatan terbaharu dalam menyelesaikan konflik Palestin-Israel, namun sampai ke hari ini, tiada sebarang keuntungan diperoleh daripada perjuangan rakyat Palestin.

Sebaliknya, negara-negara yang sudah ada hubungan diplomatik ini sangat takut mengambil tindakan mahupun mengatakan kecaman ke atas kezaliman rejim Zionis.

Dari aspek lain, hubungan normalisasi ini adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan umat Islam sendiri dalam membebaskan sebuah tanah suci.

Israel sebagai ‘negara penampan’ bagi blok Barat di Asia Barat hanya ingin mengukuhkan kedudukannya di tengah-tengah lautan negara-negara Islam.

Ancaman keselamatan dihadapi oleh Israel dapat diselesaikan jika hubungan normalisasi dengan negara-negara Arab di sekelilingnya itu dapat direalisasikan.

Bertitik tolak daripada itu, sebarang bentuk promosi dalam menjalinkan hubungan antara negara-negara Islam dengan Israel haruslah ditolak.-UTUSAN

PROFESOR DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR dan MOHAMAD FIKRI MOHD. BAKRI
Universiti Malaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya