SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, diumumkan kerjasama erat empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN), iaitu State-Government 4 (SG4) bertujuan meningkatkan potensi empat negeri.
Iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis dalam bidang-bidang industri, pelancongan dan ekonomi dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad dilantik sebagai Penasihat tidak rasmi.
Sebelum ini, pelbagai pihak menyifatkan kegagalan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang dalam pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Terengganu dan Kelantan baru-baru ini bukan disebabkan faktor gelombang hijau, sebaliknya isu ekonomi dan ketidakadilan Kerajaan Persekutuan.
Dikatakan isu ekonomi dan ketidakadilan kerajaan Pusat di tiga negeri terbabit sejak berdekad lamanya telah memberi kesan sekali gus mempengaruhi pengundi.
Rakyat di tiga negeri itu termasuk Perlis berasa terpinggir kerana pembangunan ekonomi, industri dan pertanian masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri lain seperti di Pantai Barat atau selatan Semenanjung.
Jelasnya, sentimen dan kebencian terhadap kerajaan Pusat semakin menebal apabila empat negeri tersebut yang majoritinya Melayu masih dibelenggu serta mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi.
Seperti kita tahu, kejayaan sesuatu bangsa itu diukur dari sudut kekuatan ekonomi. Ini adalah fakta yang memang telah ada berkurun-kurun lamanya.
Jika kita lihat sejarah, semua peperangan dan penaklukan dilakukan adalah bermotifkan ekonomi.
Berlakunya kolonialisme oleh negara-negara Eropah yang membawa mereka ke rantau sebelah sini sehingga seluruh Nusantara dikoloni adalah bermotifkan ekonomi.
Bangsa Eropah menjadi kuat dan dianggap tinggi darjatnya kerana kekuatan ekonomi dan kekayaan mereka.
Malah, untuk memulakan penaklukan dan peperangan memerlukan kekuatan ekonomi. Seorang raja tidak akan keluar berperang sekiranya tiada kekuatan ekonomi.
Kita dapat gambarkan menerusi filem-filem yang memaparkan peperangan zaman dahulu, di mana puluhan ribu bala tentera digunakan untuk melakukan penaklukan.
Puluhan ribu tentera itu memerlukan makan dan peralatan. Sekiranya seorang raja tidak ada kemampuan ekonomi untuk menjayakan kempen ketenteraan, beliau akan mengalami kekalahan dan selalunya terpaksa tunduk kepada raja yang lebih kaya.
Hari ini, semua peperangan yang masih berlaku tetap juga bermotifkan ekonomi. Bangsa dan negara yang mempunyai kekuatan ekonomi akan dipandang tinggi dan dihormati. Saiz geografi dan ramainya penduduk sesebuah negara bukan lagi pengukur.
Apabila diumumkan SG4 untuk membentuk satu usaha gabungan bagi mempertingkatkan ekonomi rakyat di Pantai Timur dan utara negara, ia satu usaha yang membanggakan kerana sebahagian besar penduduk di keempat-empat negeri ini adalah orang Melayu.
Lebih mengujakan, kesediaan SG4 untuk menerima bimbingan dan nasihat daripada Dr. Mahathir, iaitu seorang arkitek dan perancang yang telah berjaya membangunkan Malaysia sehingga digelar Harimau Asia suatu ketika dahulu.
Tiada istilah terlambat dalam usaha ini. Martabat orang Melayu perlu dipertingkatkan dengan kekuatan ekonomi dan ia harus dimulakan hari ini.
Bukan bermakna ekonomi orang Melayu mahupun keempat-empat negeri ini terlalu lemah dan mundur.
Apa yang kita hendak ialah ekonomi orang Melayu khususnya dan SG4 amnya dibangunkan setanding negeri-negeri seperti Selangor dan Johor. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Jawatankuasa Sekretariat Tanah Air