SAUDARA PENGARANG,
SEKALUNG tahniah diucapkan kepada kem skuasy negara yang muncul juara keseluruhan setelah meraih tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa dalam temasya Sukan Asia Hangzhou, baru-baru ini.
Tiga emas masing-masing diraih menerusi acara berpasukan wanita, perseorangan wanita, S. Sivasangari dan perseorangan lelaki, Ng Eain Yow. Pingat perak disumbangkan gandingan Syafiq Kamal dan Aifa Azman dalam acara beregu campuran manakala pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki.
Skuasy konsisten menghadiahkan emas buat Malaysia sejak dipertandingkan di Sukan Asia Bangkok pada 1998 dengan dominasi negara dalam acara perseorangan wanita sukar digugat sejak era ratu skuasy negara, Datuk Nicol David hingga kini.
Menarik untuk diperkatakan ialah mengenai hasrat Eain Yow yang ingin melihat skuasy dipertandingkan pada Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Sememangnya perjuangan skuasy untuk dipertandingkan dalam Sukan Olimpik bukanlah perkara baharu dan pernah diperkatakan sejak dari zaman Nicol lagi.
Justeru, dengan pencapaian dan perkembangan yang baik daripada barisan pemain negara di pentas antarabangsa ketika ini, maka usaha melobi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) agar menyenaraikan skuasy di Sukan Olimpik perlu diteruskan.
Dalam hal ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta Kementerian Belia dan Sukan perlu duduk semeja dan memainkan peranan lebih agresif bagi menjadikan impian ini sebagai realiti.
Sebenarnya skuasy pernah dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik untuk edisi 2016, 2020 dan 2024, namun berjaya dikalahkan oleh sukan lain dalam ketiga-tiga edisi tersebut.
Antara alasan popular diberikan oleh IOC bagi menyingkirkan skuasy ialah gelanggang terlalu mahal untuk didirikan, peraturannya sukar difahami dan sukan ini tidak boleh menarik ramai penonton.
Lebih mengecewakan, sukan memanjat, papan selaju dan papan luncur diusulkan pula sebagai sukan tambahan untuk acara tersebut. – UTUSAN
MOHD. SALLEH OSMAN, Presint 16, Putrajaya