Terkejut perjanjian dagang dirunding secara rahsia - Utusan Malaysia

Terkejut perjanjian dagang dirunding secara rahsia

RANGKA Kerja Ekonomi Indo-Pasifik bagi Kemakmuran (IPEF) dilancarkan di Amerika Syarikat pada 2022. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKALI lagi, kerajaan menyertai satu perjanjian perdagangan yang dirundingkan secara rahsia. Ia ialah Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasi­fik bagi Kemakmuran (IPEF).

Perunding-perunding dari 14 negara peserta IPEF sudah pun berada di Kuala Lumpur dari 15 hingga 24 Oktober lalu untuk merundingkan perjanjian perdagangan ini.

Cukup mengejutkan, rundingan itu dilakukan secara rahsia sehingga ahli-ahli Parlimen pun tidak tahu tentangnya.

Selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasi­fik (TPP) yang diterajui negara itu pada asalnya, nampaknya IPEF menjadi platform terbaharu AS untuk menguatkuasakan peraturan perdagangannya ke rantau Asia.

Dalam usaha mendampingi semula rantau Asia, Presiden AS, Joe Biden melancarkan IPEF pada 2022. Negara-negara terlibat ialah Malaysia, Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Australia, India, New Zealand, Jepun, Fiji, Korea Selatan dan AS.

Dikatakan negara-negara ini mewakili kira-kira 40 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.

Seperti TPP dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang menggantikannya kemudian, rundingan IPEF diadakan secara rahsia.

Oleh itu, tiada sesiapa pun tahu tentang apa isu kritikal yang penting untuk rakyat sedang dirundingkan dan dipersetujui.

Sesi pendengaran pemegang taruh yang diadakan Sekretariat IPEF pada 19 Oktober lalu di Kuala Lumpur, tidak banyak memberi manfaat.

Ini disebabkan organisasi masyarakat sivil, kesatuan pekerja, kumpulan akar umbi dan komuniti-komuniti yang biasanya terkesan dengan peraturan perdagangan sebegini telah dibiarkan dalam kegelapan.

Sesi pendengaran tidak bermanfaat kerana begitu sedikit maklumat mengenai IPEF yang didedahkan pihak terbabit.

Difahamkan, antara topik-topik akan dimasukkan dalam perjanjian tersebut ialah amalan kawal selia yang baik, kawal selia perkhidmatan domestik dan melonggarkan peraturan eksport untuk hasil pertanian yang telah melalui proses organisma diubah secara genetik (GMO).

Topik lain mempunyai implikasi meluas adalah peraturan alam sekitar yang menyekat subsidi kepada nelayan, kemudahan perdagangan ekonomi digital untuk mewujudkan aliran data rentas sempadan dan sebagainya.

Nampaknya IPEF akan menghakis kawalan-kawalan sedia ada untuk mencegah hasil GMO daripada memasuki negara ini.

IPEF mungkin menyekat keupayaan Malaysia untuk mengadakan peraturan-peraturan bukan tarif terhadap produk pertanian seperti permit, pensijilan halal dan kelulusan untuk produk GMO memasuki pasaran.

Atas nama melindungi alam sekitar, IPEF mengenakan peraturan dan sekatan terhadap mereka yang menangkap ikan di kawasan-kawasan paya bakau terutama nelayan kecil.

Nelayan dengan bot besar yang menangkap ikan secara berlebihan itu tidak dihukum, IPEF pula mungkin mendesak supaya subsidi untuk nelayan kecil dibatalkan kerana menangkap ikan di kawasan-kawasan tersebut walaupun mereka mengamalkan kaedah penangkapan ikan yang mampan.

Syarikat-syarikat teknologi besar juga mendesak secara agresifnya untuk kerajaan memudahkan aliran data rentas sempadan yang akan menyebabkan data peribadi berisiko diakses dan digunakan bagi mendapatkan wang oleh pihak-pihak tertentu.

Oleh itu, diseru pada kerajaan supaya mengkaji semula keputusan menyertai IPEF kerana ia tidak menjamin sebarang akses ke pasaran dalam AS.

Perjanjian perdagangan ini hanya bertujuan membuang kawal selia dan meliberalisasikan ekonomi kita tanpa sebarang manfaat ketara dari segi perdagangan atau penambahbaikan sosioekonomi untuk rakyat Malaysia. – UTUSAN

SIVARAJAN ARUMUGAM, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya