SAUDARA PENGARANG,
KEADAAN terkini di Semenanjung Gaza seperti yang terpampang di media sosial dan di dada-dada akhbar dilihat semakin getir dan boleh digelar sebagai ‘jenayah kemanusiaan’ terkeji pernah dilakukan pihak zionis Israel pada masa ini.
Tiada hari tanpa penindasan terhadap rakyat Palestin, terutamanya setelah penubuhan negara Israel secara rasmi di atas tanah Palestin pada 1948. Malah, semakin rancak kezaliman yang dilakukan oleh puak Zionis Israel saban hari.
Jalan penyelesaian yang tuntas perlu dicari sebelum situasi menjadi lebih teruk dan jumlah korban yang sebahagian besarnya adalah kanak-kanak dan wanita di Gaza semakin meningkat.
Perlu ditegaskan di sini, isu Palestin bukan hanya melibatkan mereka yang beragama Islam sahaja tetapi adalah isu kemanusiaan sejagat tanpa mengira bangsa, agama dan negara.
Oleh itu, isu kemanusiaan yang berpunca daripada kezaliman Yahudi di Gaza perlu diambil serius oleh negara-negara Arab di sekeliling Palestin khususnya. Mereka tidak harus bersikap menjadi pemerhati sahaja.
Tambahan pula, segala bentuk bantuan kemanusiaan dan ubat-ubatan yang hendak disalurkan ke Gaza telah tersadai di sempadan Rafah selama beberapa ketika disebabkan ancaman yang diterima dari pihak Zionis Israel.
Boleh dikatakan kaedah tindak balas yang digunakan rejim Zionis tidak terjangkau dek akal kerana amat bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa yang menetapkan maruah manusia akan terus terjaga serta nilai kemanusiaan mesti sentiasa dihormati meskipun ketika perang.
Tindakan yang diambil sungguh menjijikkan dan perlu dihentikan dengan segera. Rejim Zionis seolah-olah ingin mengulang kembali sejarah keganasan tidak berperikemanusiaan yang pernah dilakukan iaitu peristiwa pembersihan etnik Arab di Shabra dan Shatila serta pembunuhan beramai-ramai di Deir Yasin.
Hal ini telah pun tersingkap sedikit demi sedikit apabila hampir 50 daftar keluarga di Gaza telah terhapus seluruh keturunannya yang berpunca dari serangan udara tanpa henti yang kebanyakannya menyasarkan bangunan kediaman dan anak-anak kecil, tindakan yang dilarang undang-undang antarabangsa ketika berlakunya konflik perang.
Amaran berpindah dan mengosongkan utara Gaza dalam tempoh 24 jam hanyalah tipu muslihat Zionis Israel semata-mata apabila mereka dengan sengaja menyasarkan konvoi trak yang membawa puluhan penduduk Gaza ke selatan sehingga menyebabkan puluhan nyawa terkorban.
Pihak antarabangsa terutama negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, Britain dan Perancis tidak seharusnya bersekongkol serta menyatakan sokongan padu terhadap kejahatan yang dilakukan rejim Zionis yang sudah jelas menyalahi hak asasi manusia.
Kerajaan Malaysia perlu menyediakan peluang pendidikan secara percuma atau diberikan biasiswa kepada pelajar-pelajar Palestin yang menyambung pengajian di negara ini khususnya dalam kalangan mahasiswa yang keluarga mereka terbunuh akibat kekejaman Zionis Israel.
Langkah itu sedikit sebanyak mampu menjadi bukti iltizam kerajaan Malaysia dalam membantu dan mengurangkan penderitaan yang ditanggung rakyat Palestin.-UTUSAN
PROF. DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR dan NURBATRIESYA ABD. RAHIM
Universiti Malaya (UM)