SAUDARA PENGARANG,
SABAN tahun, ribuan siswazah dihasilkan oleh institusi pengajian tinggi awam mahupun swasta. Namun, di sebalik kejayaan tersebut, ramai dalam kalangan mereka gagal untuk mendapatkan pekerjaan hingga terpaksa memilih bidang kerjaya yang berbeza atau menganggur menunggu peluang tiba.
Jabatan Perangkaan melaporkan, tahun ini lebih 200,000 siswazah menganggur dan jumlah itu meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Dengan keadaan pasaran kewangan serta saham tidak menentu, ditambah kejatuhan nilai ringgit, perkara ini perlu diambil tindakan segera. Golongan pemimpin yang sibuk memastikan kuasa mereka kekal seharusnya memandang kepada masalah rakyat semakin membarah ini.
Sebaiknya, pihak universiti atau kolej perlu menghasilkan siswazah yang menepati keperluan industri di negara ini. Isu dihadapi pihak industri adalah golongan siswazah yang mencari kerja tidak mempunyai latar belakang atau pengetahuan yang sama dengan keperluan mereka. Kos dan masa menjadi satu perkara yang sukar untuk diberikan sekiranya mereka ingin melatih siswazah lepasan universiti.
Selain itu, usaha seharusnya dilaksanakan kerajaan dalam mengurangkan masalah pengangguran dengan membantu perkembangan perusahaan kecil dan sederhana. Ini kerana kita tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pelabur asing. Jika suatu hari nanti mereka mengambil keputusan untuk menarik pelaburan, maka ramai akan dibuang kerja.
Oleh itu, dengan menyokong perkembangan usahawan tempatan, ia bukan sahaja dapat memberikan peluang pekerjaan tetapi juga meningkatkan daya upaya tenaga kerja tempatan. Pemberian pakej rangsangan seperti pengecualian cukai, skim pengambilan kerja anak tempatan dan bimbingan kemahiran antara langkah boleh dibuat. Cadangan ini mampu menjadi batu loncatan kepada perusahaan tempatan untuk terus berkembang dan menjadi syarikat yang dikenali di seluruh pelosok dunia.
Mengikuti perkembangan semasa, belia seharusnya mengambil peluang dan inisiatif melalui program usahawan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bagi memajukan diri serta mengubah nasib dengan menoktahkan kemelut sedang dihadapi.-UTUSAN
AMIR AKHMAL BAHARIN
Pengerusi Majlis Ihtifal Sekolah Agama Sepenuh
Masa (MIKSAS) Taiping, Perak