SAUDARA PENGARANG,
MENGIMBAU pengalaman menyusuri jalan dari pekan Karak di Pahang menghala Manchis, seterusnya melalui Simpang Pelangai pada awal 1970-an sewaktu mengikuti rombongan dari Temerloh ke Melaka. Ketika itu, Simpang Pelangai hanyalah sebuah kampung yang sederhana. Masa itu belum ada Rancangan Tanah Felda.
Jalan ini merupakan yang terdekat untuk ke Melaka melalui Negeri Sembilan ketika itu kerana Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya PLUS dan lain-lain belum dibina.
Selepas setengah abad, Simpang Pelangai sudah berubah wajah walaupun tidak begitu menonjol lagi dari segi pembangunan.
Kini dengan adanya projek mega jalan raya empat lorong, Lingkaran Tengah Utama (LTU), pastinya akan memberi sinar baharu di kawasan tersebut dan berhampiran termasuk Negeri Sembilan.
Baru-baru ini, Utusan Malaysia menerbitkan artikel berkaitan harapan penduduk Simpang Pelangai agar kawasan tersebut akan lebih membangun. Selepas pilihan raya kecil (PRK), sudah tentu penduduk mengharapkan satu pembangunan yang memberi perubahan jangka panjang kepada mereka.
Ini bukanlah tugas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) semata-mata, tetapi melibatkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk merancang dan membawa pembangunan di kawasan itu. Rakyat juga sentiasa terbuka hati bagi memberi tanah mereka untuk dibangunkan.
Simpang Pelangai akan jadi bandar persinggahan laluan kenderaan dan pengguna jalan raya dari selatan Lembah Klang untuk ke Pantai Timur dan apabila LTU siap dibina pada 2026 dan jalan raya baharu Broga juga dilaksanakan segera.
Sudah pasti keperluan asas seperti stesen minyak, kedai serbaneka, restoran dan gerai makan, kawasan rehat dan rawat (RnR), hotel bajet, inap desa, bengkel kereta, bank dan lain-lain perlu ada di Simpang Pelangai.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur