SAUDARA PENGARANG,
AGAK merisaukan apabila membaca berita baru-baru ini berkaitan kemasukan 300,000 pekerja Bangladesh ke Malaysia sejak pengambilan baharu dibenarkan.
Amat mengejutkan pada Ogos sahaja sudah 42,000 pekerja Bangladesh masuk ke negara ini.
Kalau dibiarkan berterusan tanpa kawalan, apa akan jadi kepada negara ini nanti? Tidak cukupkah ratusan ribu pekerja dari negara itu sudah mendiami negara ini? Entah-entah jumlahnya lebih banyak daripada dinyatakan memandangkan mereka menjalani program pemutihan untuk bekerja dengan permit sah. Itu belum lagi ratusan ribu pekerja Bangladesh sedia ada.
Silalah tinjau bagaimana keadaan di Jalan Silang, Pudu dan Kota Raya di Kuala Lumpur, sudah menjadi seperti Dhaka pada hari minggu. Kita yang datang ke sana garu kepala kerana rasa seperti tersesat di negara orang.
Takkan ini imej Malaysia yang hendak kita tunjukkan kepada pelancong dari luar yang sudah pasti akan memuat naik situasi itu di laman media sosial?
Adakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) masih tidak sedar tentang lagak pekerja Bangladesh yang seolah-olah tiada beza antara mereka dengan rakyat tempatan?
Mereka bebas berniaga, boleh bernikah dengan wanita dari Malaysia, dibenarkan membeli kereta dan motosikjal seperti hendak menetap di negara ini selama-lamanya.
Cuba bayangkan, berapa ramai dalam 300,000 pekerja Bangladesh itu sudah mempunyai perniagaan sendiri? Berapa ramai pula yang jadi tauke sayur di pasar borong, ada kilang jahit pukal dan berniaga gajet di pusat beli-belah?
Sementara kita yang merupakan rakyat tempatan terpaksa pula membeli barang keperluan harian yang dijual oleh tauke-tauke asing.
Ahli politik sibuk bercakaran sampai tidak ada satu pun daripada parti kerajaan atau pembangkang mahu bersuara isu lambakan pekerja asing dalam negara yang boleh menjadi bom jangka.
Membawa masuk pekerja asing biarlah terkawal, jangan sampai rakyat yang dilahirkan di sini terjajah di negara sendiri.-UTUSAN
PEMERHATI
Kuala Lumpur