SAUDARA PENGARANG,
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan 2024 pada Jumaat lalu mengumumkan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara.
Kerajaan juga menyasarkan 10,000 gerai dan warung kecil untuk diperindah dan ditingkatkan tahap kebersihan dengan peruntukan RM10 juta. Sejak kebelakangan ini, Anwar nampaknya memberi penekanan kepada aspek kebersihan.
Tentulah dalam catatan dan pemerhatiannya berdasarkan apa yang dilihat di negara luar, masih banyak boleh diperbaiki dan ditambah baik dalam konteks negara kita.
Sekalipun kita sudah jauh bergerak daripada masyarakat pertanian kepada masyarakat berteknologi tinggi, terdapat beberapa aspek kehidupan yang nampaknya tidak berubah termasuk dalam hal melibatkan tandas, warung dan kedai makan.
Tidak dapat dinafikan, sikap menjaga kebersihan dalam kalangan rakyat kita masih boleh dipersoalkan.
Sekiranya tandas awam dijadikan ukuran baik di tempat terbuka, lebuh raya, pejabat mahupun pusat-pusat rekreasi, tahapnya adakalanya cukup memalukan.
Salahnya bukan pengendali tandas awam tersebut tetapi sikap penggunanya. Suatu ketika dahulu, stesen minyak Petronas di seluruh negara menjadi model kebersihan tandas.
Hari ini sebahagian besar daripada tandas di situ sama ada tidak dipelihara dengan baik atau sengaja dibiarkan kotor.
Mungkin Petronas boleh menggunakan kuasa dan keupayaan serta keuntungan lebih RM23 bilion yang diperolehnya untuk mensyaratkan salah satu kriteria menjadi pengusaha stesen minyaknya adalah memastikan kebersihan tandas masing-masing.
Petronas boleh memulakan kempen besar-besaran bertemakan Kebersihan tandas sama pentingnya dengan kualiti minyak di seluruh negara. Selepas itu, mungkin syarikat-syarikat minyak lain akan mengikut jejak langkah sama.
Saya juga sependapat dengan Perdana Menteri bahawa aspek kebersihan perlu ditingkatkan walaupun ada pihak yang masih bernostalgia rasa seronok luar biasa menghirup teh panas atau ‘kopi kaw’ serta menjamah roti canai dan nasi lemak berbungkus plastik dan akhbar lama di warung berlopak, berbau dan daif di lorong-lorong di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.
Bagi sesetengah orang, inilah Kuala Lumpur yang sebenar. Seperti digambarkan dalam puisi oleh Latiff Mohiddin dan Baha Zain, suasana sedemikian di Kampung Baru dan Jalan Doraisamy termaktub sebagai sebahagian legenda rakyat kota.
Begitu tolerannya orang Kuala Lumpur hingga percaya perut mereka seolah-olah mempunyai imuniti daripada keracunan dan penyakit.
Semua ini harus berubah, sesuai dengan wajah baharu Kuala Lumpur, kebanggaan warga kota dan kecanggihan binaan serta teknologinya.
Kuala Lumpur harus juga menjadi kota bersih yang mempunyai warung, gerai penjaja makanan teratur dan tandas awam nyaman.
Tanpa perlu membunuh tabiat, kebiasaan dan pengunjungnya, tempat-tempat baharu ini harus mempersiapkan pula suasana, selera dan cara persembahan berbeza. Tidak ada salahnya menikmati teh tarik, nasi lemak dan capati mamak.
Cuma kali ini biarlah di tempat teratur, indah dan bersih dan makanannya pula dijamin terkawal dari segi kesihatan oleh sistem pembungkusan dan pemprosesan moden. – UTUSAN
ARIF MUSTAQIM MD. SALLEH, Kuala Lumpur