SAUDARA PENGARANG,
BERDASARKAN statistik Kementerian Pendidikan, hanya 44 peratus pelajar memilih aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) pada 2018 berbanding 48 peratus pada 2012, iaitu penurunan empat peratus. Nampak kecil, tetapi setiap tahun jumlah pelajar menurun 6,000 orang.
Ini kerana ramai pelajar beranggapan aliran sains itu susah kerana memerlukan mereka menghafal pelbagai teori dan formula.
Namun, jika cara pengajaran oleh guru menyeronokkan, ia boleh menjadi pembakar semangat untuk pelajar lebih mendalaminya.
Jika cara seperti ini dipraktikkan sewaktu pengajaran dan pembelajaran (PdP), pasti bilangan pelajar memilih aliran sains akan meningkat saban tahun.
Mewujudkan minat dalam bidang ini memerlukan gabungan kaedah pengajaran yang menarik, pengalaman praktikal, pendedahan kepada aplikasi dunia sebenar dan peluang untuk penerokaan peribadi.
Selain itu, guru boleh mengadakan lawatan seperti di kawasan paya bakau untuk mempelajari tentang ekosistem. Pelajar bukan sahaja dapat mempelajari tentang ekosistem paya bakau tetapi juga dapat melihat pemandangan yang indah.
Di samping itu, guru juga boleh membuat lagu bagi memudahkan pelajar menghafal dengan lebih mudah dan dapat diakses di mana-mana sahaja.
Selain itu, guru juga boleh mengadakan karnival sains, minggu sains dan sebagainya. Guru perlu menggalakkan pelajar untuk mengambil bahagian dalam kelab sains, persatuan matematik atau inisiatif komuniti berkaitan teknologi.
Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dan projek komuniti boleh meluaskan pendedahan kepada aplikasi praktikal mata pelajaran ini dan menyemarakkan semangat mereka.
Guru juga peru menunjukkan perkaitan dunia sebenar dengan STEM melalui cara menunjukkan bagaimana mata pelajaran ini penting dalam menyelesaikan masalah harian dan membaiki kehidupan kita.
Secara tidak langsung, cara-cara ini dapat merangsang minat murid terhadap aliran sains dan meningkatkan kepekaan terhadap alam sekitar. – UTUSAN
NUR HANISAH MOHD. RIDZWAN
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)