SAUDARA PENGARANG,
SEKARANG ini, isu kekurangan bekalan beras putih tempatan (BPT) di pasaran terus berlarutan meskipun pengeluaran beras jenis itu dikatakan antara 60 hingga 65 peratus setahun.
Terdapat pelbagai sebab kekurangan pengeluaran BPT termasuk pertumbuhan rumpai secara tidak terkawal yang menyekat pertumbuhan padi semasa peringkat awal ia ditanam.
Dalam erti kata lain, rumpai tidak dikawal menyebabkan hasil padi kurang. Namun, penggunaan racun rumpai yang berlebihan akan merosakkan kualiti persekitaran.
Ia juga boleh mendatangkan kesan buruk kepada kesihatan manusia. Rumpai adalah masalah utama yang memerlukan kawalan secara rapi. Oleh itu, kawalan rumpai tanpa kimia di sawah perlu dilaksanakan secara berkala.
Dalam sistem penanaman padi, aktiviti kawalan rumpai adalah sangat penting dan tidak boleh dielakkan. Rumpai tumbuh dan bersaing dengan pokok padi untuk mendapat nutrien, cahaya, air dan ruang.
Rumpai juga menjadi perumah kepada serangga perosak, tikus dan bakteria serta virus yang boleh menyebabkan penyakit. Banyak laporan menyatakan persaingan rumpai dengan padi akan menjejaskan hasil padi serta merugikan pulangan ekonomi kepada pesawah.
Masalah ini juga dapat menambah kos pengurusan dan kawalan untuk aktiviti semburan racun rumpai. Sebelum ini terdapat cadangan supaya racun dijadikan barang kawalan bagi memastikan harganya tidak membebankan pesawah dan boleh meningkatkan hasil padi.
Pesanan saya kepada mereka yang terlibat dalam industri pertanian terutama padi agar sentiasa mengawal rumpai sepanjang musim termasuk selepas penuaian. – UTUSAN
PROFESOR DATUK DR. ABDUL SHUKOR JURAIMI, Pakar rumpai Universiti Putra Malaysia (UPM)